PETALING JAYA: Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Jeli–Gerik pada 9 Jun lalu mahu memfailkan saman terhadap syarikat pengendali bas dan pemandunya.
Menurut Utusan Malaysia, tindakan undang-undang itu bagi menuntut pampasan atas kecederaan serta kerugian yang dialami, selain memastikan keadilan diberikan kepada semua mangsa yang terjejas dalam tragedi tersebut.
Peguam mewakili pelajar terlibat, Dr. Mahmud Jumaat berkata, notis tuntutan kepada syarikat insurans akan dikemukakan Isnin ini sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Majoriti pelajar yang mengalami kecederaan kritikal termasuk Nor Erika Elysha Mohd. Zaidi telah bersetuju untuk melantik kami meneruskan tindakan saman ke atas syarikat dan pemandu bas.
“Pemakluman kepada syarikat insuran atas tuntutan ini akan dilakukan pada Isnin ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Katanya, pihaknya turut komited membantu mangsa serta keluarga mereka berpandukan saluran undang-undang yang sah bagi memastikan pembelaan sewajarnya dapat diberikan.
Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 53, JRTB Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding di Gerik pada 9 Jun lalu, sebuah bas persiaran membawa 42 penuntut UPSI dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV jenis Perodua Alza dinaiki empat sekeluarga.
Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas cuti Hari Raya Aidiladha.
































