HUNAN: Sekumpulan saintis dari makmal robotik di Universiti Pertahanan Negara (NUDT) yang terletak di wilayah Hunan, China mendedahkan sebuah dron kecil seperti nyamuk yang direka khas untuk misi pengintipan dan peninjauan.
Menurut Utusan Malaysia, dron miniatur ini dipertontonkan kepada umum menerusi saluran tentera CCTV 7, memperlihatkan reka bentuk unik dengan sayap bergetar dan kaki halus umpama rambut yang menjadikannya sukar dibezakan daripada serangga sebenar.
Dengan saiznya yang sangat kecil, dron ini berpotensi merevolusikan pelbagai industri dan aplikasi, kerana ia mampu menyusup ke ruang yang sempit serta menyamar dengan persekitaran tanpa dikesan.
Walaupun dipromosikan sebagai pilihan ideal untuk misi peninjauan tentera, ramai pemerhati percaya bahawa teknologi ini juga boleh digunakan oleh kerajaan China bagi tujuan pemantauan awam.
Dron bersaiz hanya 1.3 sentimeter ini boleh dikawal dengan mudah menggunakan telefon pintar.
Ia mempunyai sayap seakan daun, tiga kaki kecil dan beroperasi jauh lebih senyap berbanding dron biasa.
Penciptanya yakin ia hampir mustahil untuk dikesan dan mampu menjalankan pelbagai fungsi daripada memasuki kawasan sukar ketika bencana sehinggalah memantau kualiti udara melalui sensor yang dipasang.
Walaupun dron mikro ini tular di media sosial China, ia tetap mempunyai beberapa kekangan ketara.
Saiznya yang kecil merupakan satu kelebihan tetapi juga menjadi kelemahan utama terutama dari segi hayat bateri yang terhad serta keupayaan untuk membawa sensor dan peralatan tambahan yang lain.






























