Sultan Ibrahim bertitah pada Titah Diraja sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M di sini kelmarin.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan para pemimpin tidak menjadikan agama Islam sebagai alat untuk meraih sokongan politik atau kepentingan peribadi, sebaliknya menjadikan Islam sebagai asas kepada politik yang adil, bersih dan membela rakyat.
Menurut Utusan Malaysia, Baginda bertitah, pemimpin wajar mengislamkan politik, iaitu menegakkan nilai Islam dalam tatakelola, dasar dan tindakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara.
“Saya suka ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi, tetapi mengislamkan politik demi kepentingan negara,” titah baginda sempena Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di sini kelmarin.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan terhadap wujudnya pihak yang menyalahgunakan pentas dakwah dan medan pengajaran Islam untuk menyampaikan agenda politik parti.
“Sejak dahulu lagi saya tegaskan, pentas dakwah dan medan pengajaran agama Islam tidak wajar dijadikan tempat untuk agenda parti politik.
“Marilah kita menjaga kesucian agama Islam dan membentuk penyatuan ummah yang harmoni,” titah Baginda.
Pada titah sama, Sultan Ibrahim menyeru agar semua pihak kembali menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Semua pihak mestilah menghormati Perlembagaan dan tidak menghidupkan api permusuhan atas nama kaum atau agama yang boleh menggugat keamanan negara.
“Nilai-nilai seperti keadilan, kuasa yang amanah, tanggungjawab dan permuafakatan adalah tunjang utama yang telah membentuk kestabilan negara sejak merdeka,” titah Baginda.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim, diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Tema sambutan Ma’al Hijrah tahun ini ialah ‘Membangun Ummah Madani’ yang mengangkat kepentingan nilai Islam dalam membentuk masyarakat sejahtera, bersatu dan berintegriti.
































