WASHINGTON: Satu objek berapi misteri mencetuskan kekecohan di beberapa negeri Amerika Syarikat (AS) termasuk Georgia, South Carolina dan Tennessee, apabila ia dilihat meluncur di langit pada petang semalam, sambil meninggalkan kesan asap sebelum jatuh ke tanah.
Menurut Utusan Malaysia, pihak berkuasa di tiga negeri, termasuk ahli sains, pakar kaji cuaca dan pihak keselamatan, sedang berusaha menyiasat fenomena luar biasa yang menarik perhatian ramai di kawasan luas di selatan AS.
Penampakan itu mencetuskan ratusan panggilan kepada pihak berkuasa.
Apa juga asal-usul objek itu, insiden menjadi lebih membimbangkan apabila satu serpihan kecil yang dipercayai terpisah daripadanya menembusi bumbung rumah di selatan Atlanta, hingga menyebabkan lantai lamina kediaman tersebut retak.
Beberapa jam kemudian, selepas pelbagai spekulasi tersebar, NASA mengesahkan objek berkenaan sebenarnya adalah sebutir meteor yang meluncur menembusi atmosfera bumi pada kelajuan 48,280 kilometer sejam (km/j).
Ketua Pejabat Persekitaran Meteoroid NASA di Pusat Angkasa Marshall di Huntsville, Alabama, Bill Cooke berkata, meteor itu berdiameter kira-kira 91 sentimeter dan mempunyai berat melebihi satu tan.
Menurut Cooke, ia mula dikesan pada ketinggian 77 km di atas bandar Oxford, Georgia, dan mula berpecah ketika berada 43 km di atas kawasan hutan di Georgia, sambil melepaskan tenaga kira-kira 20 tan TNT.
“Gelombang tekanan yang terhasil akibat letupan itu merebak ke permukaan bumi, menghasilkan bunyi dentuman kuat yang didengari ramai di kawasan berkenaan,” katanya.
Bola api yang menarik perhatian orang ramai di seluruh rantau itu sebenarnya berpunca daripada meteor yang pecah di udara.
Terdahulu, laporan di media sosial menyebut mengenai bola api yang meluncur di langit, tingkap bergegar di bingkai, serta bunyi kuat yang mengejutkan penduduk.
Menurut Persatuan Meteor Amerika, terdapat kira-kira 130 laporan mengenai penampakan bola api di 20 negeri, bermula sejurus selepas tengah hari.
Bagaimanapun, tidak jelas berapa banyak daripada penampakan itu berkaitan dengan kejadian yang dirakam dalam beberapa video yang tular.































