PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 36 orang warga Bangladesh yang dikenal pasti terlibat secara langsung dalam Gerakan Militan Radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi keselamatan terancang itu bermula pada 24 April lalu yang mana dilaksanakan dalam tiga fasa tangkapan sekitar Selangor dan Johor.
“Dalam operasi tersebut, lima daripada mereka dikenal pasti terlibat di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan dan telah didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru.
“15 individu lagi telah dikenakan perintah pengusiran, manakala 16 individu sedang disiasat lanjut terkait penglibatan mereka dalam gerakan militan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil risikan dan tindakan bersepadu Pasukan Cawangan Khas PDRM mendapati kumpulan itu membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Islamic State (IS) ke dalam negara.
“Kumpulan itu turut mewujudkan sel pengrekrutan dalam kalangan komuniti mereka bagi tujuan mengindoktrinasikan fahaman radikal selain mengumpul dana untuk aktiviti keganasan dan menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka.
“Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat berlindung, apatah lagi medan anasir subversif untuk mana-mana gerakan ekstremis asing.
“Tindakan yang diambil ini membuktikan bahawa kerajaan amat serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan ini turut membuktikan kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan negara khususnya PDRM dalam memelihara kedaulatan, keharmonian, dan ketenteraman awam.
“Saya ulangi jaminan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan terus memperkukuh
keupayaan risikan dan menggandakan penguatkuasaan serta bekerjasama dengan agensi- agensi keselamatan dalam dan luar negara.
“Ia untuk memastikan Malaysia kekal aman, stabil dan bebas daripada ancaman keganasan.
“Sebarang cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi militan atau pusat transit gerakan ekstremis akan ditangani dengan tindakan tegas, pantas dan berkesan,” katanya.


































