KUALA LUMPUR: Seorang penuntut universiti swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini kelmarin atas pertuduhan mengaibkan seorang wanita di sebuah stesen Transit Aliran Massa (MRT) di Cheras, Ahad lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Muhammad Hafiz Damian Abdul Qawwiy, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah mengaibkan mangsa dengan melihat anggota sulit seorang wanita di Stesen MRT Taman Pertama, Cheras pada pukul 8.53 malam, 22 Jun lalu.
Kejadian itu turut tular di media sosial.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan itu bersifat tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam bela yang mewakili tertuduh, Mohammad Sufi Mohammad Sukor merayu jaminan diberikan kepada anak guamnya yang masih muda.
“Anak guam saya akan menduduki peperiksaan akhir tidak lama lagi. Ini merupakan kesalahan pertamanya dan dia telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
“Dia tidak berisiko untuk melarikan diri. Bapa angkatnya juga hadir hari ini untuk menjamin dan hanya mempunyai kurang RM1,000,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan diperintahkan melaporkan diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Ogos ini bagi lantikan peguam.
Pada Isnin, hasrat sepasang suami isteri membawa anak mereka menaiki MRT bertukar menjadi detik hitam apabila seorang lelaki ‘miang’ dipercayai cuba merakam bawah kain mangsa.
Insiden yang tular di media sosial turut memaparkan suami mangsa bertindak pantas merangkul baju lelaki terbabit selepas menyedari perbuatan itu.
Difahamkan, suspek berdalih kononnya hanya mahu merakam pemandangan sekeliling, namun semakan rakaman video dan televisyen litar tertutup (CCTV) membuktikan sebaliknya.


































