LOS ANGELES: Bandar-bandar pesisir pantai di California seperti Los Angeles, San Francisco, San Diego dan Alameda berisiko tenggelam akibat peningkatan paras laut yang membimbangkan menjelang 2050.
Menurut Utusan Malaysia, laporan terbaharu oleh penyelidik dari Institut Sains Marin Virginia (VIMS) mendedahkan, paras laut di bandar-bandar berkenaan menunjukkan peningkatan ketara sejak tahun 2018, ditambah dengan hakisan tanah berterusan dan kejadian penurunan tanah (subsiden).
Data tersebut mendedahkan San Diego mengalami kadar peningkatan paras laut tertinggi di sepanjang Pantai Barat, iaitu sebanyak 2.6 milimeter setahun dan menjelang 2050, keempat-empat bandar itu dijangka mencatat paras laut beberapa inci lebih tinggi daripada purata yang diramalkan.
Keadaan itu bakal menyumbang kepada perubahan drastik di sepanjang pesisir pantai California, termasuk kawasan-kawasan penempatan yang bakal dinaiki air akibat air pasang lebih tinggi, penurunan jumlah pelancong susulan kehilangan pantai, serta perpindahan berjuta-juta penduduk dari kawasan kediaman yang semakin tenggelam.
Laporan itu menyatakan beberapa kawasan metropolitan utama di Pantai Timur seperti New York dan Boston juga dijangka menghadapi situasi yang sama dengan California.
Institut Dasar Awam California menjangkakan peningkatan paras laut ini boleh menyebabkan bangunan bernilai AS$18 bilion (RM76 juta) ditenggelami air.
Lebih 26 juta daripada 40 juta penduduk California tinggal di kawasan pesisir pantai dan di San Francisco sahaja, kos melindungi kawasan Teluk daripada ancaman peningkatan paras laut menjelang 2050 dianggarkan mencecah AS$110 bilion (RM465 juta).
Satu kajian Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pada Februari lalu turut menjangkakan paras laut di San Francisco dan Los Angeles meningkat lebih dua kali ganda berbanding ramalan sebelum ini menjelang tahun 2050.


































