Tangkap layar video menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal sambil meniarap atas tilam di Thailand.
SISAKET: Seorang lelaki di Thailand mencuri perhatian dunia selepas aksinya menunggang motosikal sambil baring di atas tilam menjadi tular dalam media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, dalam video yang kini mencecah lebih 11 juta tontonan, lelaki berkenaan menunggang motosikal dalam keadaan meniarap di atas sebuah tilam sambil tangannya masih memegang kemas pemegang motosikal ketika meluncur di jalan raya di wilayah Sisaket, timur laut Thailand.
Rakaman yang dikongsi meluas dalam media sosial itu menunjukkan lelaki tersebut kelihatan tenang dan selesa, sesekali mengubah posisi badan namun masih mengawal motosikal dengan yakin.
Aksi luar biasa itu mencetuskan pelbagai reaksi lucu daripada pengguna media sosial.
“Macam mana dia tukar gear dalam posisi begitu?” soal seorang netizen.
“Apa jadi kalau dia betul-betul tertidur tengah jalan?” kata seorang lagi pengguna.
“Dia sedang hidupkan impian saya, kerja sambil tidur!” komen seorang pengguna yang mendapat perhatian ramai.
Tidak dapat dipastikan sama ada tilam itu dipasang untuk keselesaan, tujuan hiburan atau semata-mata untuk elak sakit punggung, namun gaya tunggangan luar biasa itu ternyata mencuit hati ramai.
Klip tersebut dikongsi secara meluas dalam Facebook, TikTok dan X hingga menarik perhatian global.
Di Thailand, inovasi kreatif terhadap motosikal memang bukan perkara asing. Daripada gerai makanan bergerak sehinggalah motosikal yang membawa seluruh isi rumah, namun tilam sebagai tempat duduk semasa menunggang tetap menjadi sesuatu yang luar biasa.
Pihak berkuasa setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada aksi tersebut melanggar undang-undang keselamatan jalan raya walaupun ramai pengguna media sosial menegaskan bahaya yang boleh timbul akibat aksi berisiko itu.


































