PARIS: Amerika Syarikat (AS) dijangka mengalami kerugian kAS$12.5 bilion (RM53.8 bilion) dalam pendapatan daripada pelancong asing tahun ini, menurut satu kumpulan industri pelancongan pada Khamis susulan tindakan keras pentadbiran Donald Trump terhadap migran.
Menurut Utusan Malaysia, kajian yang dijalankan oleh Majlis Pelancongan dan Perjalanan Dunia (WTTC) bersama Oxford Economics mendapati AS merupakan satu-satunya negara yang dijangka mencatatkan penurunan dalam perbelanjaan pelancong asing tahun ini.
Penurunan kepada AS$181 bilion (RM771.6 bilion) dalam perbelanjaan pelancong asing itu adalah 22.5 peratus lebih rendah daripada paras tertinggi yang dicatatkan satu dekad lalu.
WTTC yang terdiri daripada syarikat pelancongan terkemuka dunia menyifatkan situasi ini sebagai satu tamparan hebat kepada ekonomi AS secara keseluruhan, menjejaskan komuniti, pekerjaan dan perniagaan di seluruh negara.
Presiden WTTC, Julia Simpson berkata, sokongan kerajaan diperlukan bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan terus kekal.
“Ketika negara lain mengalu-alukan kedatangan pelawat, kerajaan AS seolah-olah menggantung papan tanda ‘ditutup’,” katanya dalam satu kenyataan.
Di bawah kepimpinan Trump yang giat mengetatkan dasar imigrasi, membuat kenyataan politik berbaur kontroversi terhadap negara lain dan mengenakan tarif ke atas barangan asing, terdapat pelbagai usaha dari pengguna luar negara untuk memboikot produk AS serta seruan agar tidak melancong ke negara itu.
Simpson memberitahu New York Times terdapat pelancong asing yang takut untuk melancong ke AS.
“Terdapat juga kebimbangan berkaitan visa sama ada mereka memiliki visa yang betul atau mungkin ditahan secara tidak sengaja yang membuatkan orang ramai berasa takut,” katanya.
Laporan itu turut memetik data daripada Jabatan Perdagangan AS yang menunjukkan penurunan ketara ketibaan pelancong pada Mac 2020 dari beberapa negara utama, termasuk hampir 15 peratus dari Britain dan Korea Selatan.
Penurunan lebih 20 peratus turut dicatatkan dari Jerman, Ireland dan Sepanyol. Tempahan pelancongan awal musim panas dari Kanada dilaporkan turut menurun sebanyak 20 peratus.


































