Masiung (kanan) berbual dengan para peserta program.
TONGOD; Menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran teknologi merupakan kunci utama golongan muda untuk membuka pintu kejayaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Menurutnya, ilmu adalah senjata paling ampuh untuk membentuk masa depan yang lebih cerah serta mencorakkan kerjaya generasi muda.
“Sebuah negara akan mundur tanpa kemahiran ilmu dan kepakaran teknologi dalam kalangan rakyatnya,” katanya ketika merasmikan Program Ceramah Motivasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2025 di Dewan Tertutup Majlis Daerah Tongod, semalam.
Masiung berkata, golongan belia yang cemerlang dalam bidang pendidikan berpotensi menjadi penggubal dasar dan memegang peranan penting dalam pentadbiran kerajaan.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu menegaskan bahawa belia berkemahiran tinggi dan berkelulusan akademik mampu menjadi ‘arkitek moden’ dalam usaha membangunkan negeri dan negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa anak-anak muda di daerah tersebut agar bijak merebut peluang pendidikan dan kerjaya yang disediakan oleh kerajaan.
Masiung turut memaklumkan bahawa pihaknya telah membuka laluan kepada pelajar cemerlang di Tongod untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti melalui bantuan Yayasan Pendidikan Tongod (YPT).
“YPT diwujudkan bagi membantu pelajar cemerlang di daerah ini melangkah ke menara gading, sama ada di universiti tempatan mahupun luar negara,” jelasnya.
YPT merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Borneo Cement Sabah (BCS) Sdn Bhd, syarikat yang sedang membina kilang simen di Kampung Kawayoi, Tongod.
Menurutnya, pembinaan kilang simen itu bukan sahaja memberi impak kepada sektor ekonomi, malah membantu membina kemudahan infrastruktur dan asas untuk kesejahteraan penduduk setempat.
Program ceramah motivasi tersebut berjaya menarik penyertaan lebih 300 orang terdiri daripada golongan muda, pelajar dan ahli persatuan.
Ia dianjurkan secara kerjasama oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institusi Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) serta Pemerkasa.































