Peter (empat dari kiri) menerima cendera kenangan dalam majlis itu.
LABUAN: Majlis Sodop Unduk Ngadau Kaamatan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025 bukan sekadar pertandingan ratu cantik, sebaliknya menjadi wadah memartabatkan budaya, warisan serta semangat perpaduan masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) di perantauan.
Majlis penuh adat dan tradisi itu dirasmikan oleh Pengerusi Penyelaras KDCA Daerah Labuan merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat KDCA Hongkod, Gundohing Peter Pikul pada Jumaat.
Dalam ucapannya, Peter menekankan bahawa Unduk Ngadau merupakan simbol keluhuran jiwa, semangat pengorbanan serta keberanian wanita KDMR, yang berakar daripada kisah Huminodun – tokoh lagenda yang menyerahkan dirinya demi kesejahteraan bangsanya.
“Unduk Ngadau bukan sekadar acara tahunan, ia adalah pentas pembinaan karakter, jati diri dan maruah wanita KDMR,” katanya di hadapan kira-kira 500 hadirin.
Beliau turut memuji usaha Jawatankuasa Penganjur yang diterajui oleh Gundohing Walther Philip Michael dan Aeddy Lubin, serta seluruh warga KDCA Labuan atas komitmen mereka menganjurkan program berprestij itu dengan cemerlang.
Menurutnya, tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan Untuk Semua”, mencerminkan nilai keterangkuman yang mengajak semua lapisan masyarakat menyambut dan meraikan warisan budaya secara bersama-sama.
“Saya amat berbangga melihat komuniti KDMR di Labuan terus teguh memelihara budaya kita walaupun berada jauh dari tanah asal. Ini bukti budaya bukan hanya diwarisi, tetapi juga dipelihara dan dirayakan,” katanya.
Peter juga menekankan bahawa perpaduan dan hormat-menghormati antara kaum merupakan asas kekuatan sesebuah masyarakat, dan majlis seperti ini menjadi simbol nilai kekeluargaan serta kerjasama antara komuniti.
Beliau turut menyampaikan pesanan Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang menggesa masyarakat KDMR agar bangkit mempertahankan identiti bangsa melalui ilmu dan budaya.
“Anak-anak kita mesti tahu siapa mereka, dari mana mereka berasal, dan ke mana bangsa ini harus dibawa. Jangan malu jadi KDMR – banggalah dan bertindaklah,” katanya sambil memetik amanat Tan Sri Pairin.

Peter menyempurnakan gimik perasmian dengan memalu gong Majlis Sodop Unduk Ngadau Kaamatan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025.
Mengulas tentang penubuhan Yayasan Huguan Siou (HSF), Peter menjelaskan bahawa yayasan itu merupakan langkah strategik memperkukuh pembangunan masyarakat KDMR dalam aspek pendidikan, ekonomi, budaya dan sosial.
Beliau menyeru warga KDMR di Labuan agar terus memperkasa budaya dan jati diri, serta menjadikan Kaamatan sebagai momentum untuk menyatukan bangsa dan membina masa depan yang bermaruah.
“Kaamatan adalah lebih daripada sekadar pesta – ia adalah peringatan tentang siapa kita dan mengapa kita mesti terus bersatu,” katanya lagi.
Beliau turut memberi perangsang kepada para peserta Unduk Ngadau agar menjadi inspirasi kepada generasi muda dan terus memainkan peranan sebagai duta budaya serta pewaris warisan bangsa.
Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi KDCA WP Labuan, Gundohing Jerome Mijin; Pengerusi Labuan Society, Suzanna Koh; dan Pengerusi KCCI Labuan, Paul Ipoh Leokin serta barisan juri dan tetamu kehormat lain.