ALOR GAJAH: Tahap kesedaran berkenaan perlindungan harta intelek dalam kalangan usahawan khususnya bumiputera masih lagi rendah.
Menurut Utusan Malaysia, keadaan tersebut berlaku kerana wujud persepsi berkaitan kos proses mendaftar yang mahal dan tidak relevan.
Ketua Pengarah Perbadanan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Kamal Kormin berkata, persepsi itu menyebabkan ramai usahawan tidak ambil peduli untuk memohon mendaftar harta intelek mereka.
Katanya, disebabkan tahap kesedaran yang masih rendah itu, timbul banyak masalah apabila produk yang dihasilkan mereka mendapat permintaan tinggi sehingga diciplak.
“Apabila timbul isu ciplak MyIPO tidak boleh berbuat apa-apa untuk mengambil tindakan undang-undang disebabkan produk tersebut tidak didaftarkan sebagai harta intelek atau dipatenkan.
“Kami sebenarnya menerima banyak aduan berhubung isu tersebut tetapi apabila disiasat produk itu tidak didaftarkan dengan MyIPO dan antara punca utama disebabkan kos proses yang dianggap mahal.
“Hakikatnya, kos permohonan tidaklah mahal dengan jaminan perlindungan 10 tahun dan sebenarnya ia amat penting bagi mengelakkan hasil usaha mereka mudah diciplak oleh orang lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Santuni Madani MyIPO di Balai Raya Kampung Sungai Jerneh di sini Sabtu.
Kamal berkata, sehubungan itu pihaknya akan turun padang memberi penerangan mengenai kepentingan mendaftar bagi melindungi harta intelek milik usahawan serta mengelak daripada berlakunya cetak rompak.
Beliau berkata, sebagai langkah untuk memupuk kesedaran tersebut, MyIPO juga akan terus mengambil pendekatan berkolaborasi dengan agensi kerajaan bagi usahawan mendapat maklumat untuk mendaftarkan produk mereka.