MELAKA: Polis Melaka memberi amaran tegas kepada seorang suspek dikenali sebagai ‘Kecik’ yang masih bebas agar segera menyerah diri bagi membantu siasatan kes kecurian kabel yang berlaku di negeri ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek yang dikenali sebagai G. Deneshwaran, 25, berasal dari Teluk Intan, Perak dan dipercayai mempunyai rekod jenayah lampau.
“Pesanan kita kepada Kecik, kalau rasa nak serah diri, serah diri cepat. Jangan sampai gambar pun kita dah edar. Orang awam yang ada maklumat diminta hubungi pegawai penyiasat segera.
“Kawan dia kita dah tangkap, jadi tiada masalah untuk kita dapatkan dia dalam masa terdekat. Kita percaya dia sudah keluar dari Melaka dan kini sedang bersembunyi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Light Strike Force (LSF) Siri 1/2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Terdahulu pada majlis berkenaan, seramai 14 anggota polis yang terlibat dalam kejayaan menumpaskan suspek curi kabel baru-baru ini telah menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Melaka sebagai pengiktirafan atas keberanian dan kecekapan mereka.
Menurut Dzulkhairi, suspek dan rakannya dipercayai menjalankan kegiatan mencuri kabel di sekitar Melaka dengan menggunakan kereta sewa bernombor pendaftaran palsu.
“Mereka bergerak dari luar Melaka, sewa kereta dan tukar nombor pendaftaran. Aktiviti mereka menjangkaui beberapa negeri, cari peluang untuk lakukan jenayah. Polis sedang giat memburu Kecik yang dikenal pasti melalui siasatan lanjut dan yakin suspek akan diberkas dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan dua lelaki disyaki melakukan kegiatan mencuri kabel nekad melarikan diri dengan memandu sebuah Toyota Hilux secara melawan arus di Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) selepas kenderaan dinaiki mereka cuba diperiksa polis, awal pagi 6 Mei lalu.
Dalam kejadian itu, suspek turut merempuh empat kenderaan lain di lebuh raya termasuk sebuah lori sebelum dikepung dan ditahan oleh unit kereta peronda (MPV) di Kilometer 216.8, pada pukul 5.30 pagi.
Seorang suspek berusia 29 tahun beralamat di Teluk Intan, Perak berjaya diberkas, manakala rakannya terlepas setelah melarikan diri ke seberang jalan lebuh raya.