Steven Sim Chee Keong
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan dasar pertukaran majikan bagi pekerja asing setakat ini hanya melibatkan sektor-sektor formal.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, garis panduan terperinci sedang dirangka bagi menetapkan syarat dan proses yang perlu dipatuhi.
Beliau berkata, ia termasuk tempoh minimum perkhidmatan sebelum pertukaran dibenarkan, proses mendapatkan kebenaran daripada majikan dan pekerja serta penetapan sektor-sektor yang terlibat.
Justeru, katanya, semua perincian mengenai pelaksanaan dasar itu akan diumumkan dalam masa terdekat bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan mengikut peraturan.
“Ada juga yang bertanya sama ada pembantu rumah atau pekerja domestik termasuk dalam dasar ini. Untuk makluman, sektor domestik tidak tergolong dalam sektor formal dan tidak termasuk dalam pelaksanaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Lanjutan Bulan Pemutihan Perkeso 2025 di Menara Perkeso, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi), Azirruan Arifin.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan kini membenarkan pekerja asing untuk memohon pertukaran majikan merentasi sektor penggajian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, perubahan dasar ini merupakan strategi untuk menangani pelbagai isu kritikal dalam pengurusan pekerja asing di negara ini.
“Terdapat kes syarikat yang tiba-tiba tutup atau tidak lagi beroperasi menyebabkan pekerja asing yang masih memiliki permit sah tidak tahu ke mana hendak pergi.
“Dalam keadaan ini, pertukaran majikan secara sah boleh mengelakkan mereka daripada diambil bekerja secara tidak sah atau berada di luar perlindungan undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun, Steven Sim berkata, pertukaran tersebut tetap tertakluk kepada kesesuaian, keperluan serta siling kuota yang telah ditetapkan kerajaan.
“Pertukaran ini juga perlu mendapat persetujuan semua pihak, termasuk majikan asal dan pekerja itu sendiri.
“Jika pekerja masih mempunyai baki tempoh sah permit dan persetujuan diperoleh, mereka boleh dipindahkan ke syarikat lain tanpa perlu membawa masuk pekerja baharu dari luar negara,” ujarnya.