Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu memahami kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk negara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap kementerian dan jabatan misalnya mahukan peruntukan yang lebih namun mereka juga perlu mengambil kira kemampuan kerajaan.
Sebab itulah katanya, bagi Kementerian Kesihatan beliau sering memaklumkan kepada menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad agar kakitangannya memahami dasar ekonomi makro yang dilaksanakan kerajaan dengan mengambil kira kepentingan semua aspek.
“Beritahu pada kakitangan supaya bukan hanya tahu mengenai penyakit tetapi juga memahami ‘penyakit ekonomi’, dasar ekonomi makro.
“Setiap kementerian, jabatan dan pusat penyelidikan tentunya mahukan lebih peruntukan, tetapi kita perlu lihat sekolah, infrastruktur luar bandar, klinik dan hospital. Cabaran ini mesti ditangani dengan adil dan saksama selepas memahami kekangan yang ada,” katanya sewaktu merasmikan majlis Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) Trial Connect 2025 di sini, semalam.
Selain Dzulkefly, turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian dan Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr. Akhmal Yusof.
Perdana Menteri berkata, kerajaan boleh mengagihkan lebih banyak peruntukan, namun ia akan membabitkan peningkatan cukai yang akhirnya bukan saja membebankan rakyat, tetapi juga golongan doktor.
“Setiap kawasan dan bandar pasti mempunyai permintaan tersendiri dalam aspek kesihatan, namun kerajaan tidak mampu memenuhi semuanya tanpa kefahaman mendalam terhadap keutamaan serta kekangan sumber.
“Meskipun negara giat memperluas usaha dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, tekanan akibat permintaan yang meningkat turut dirasai rakyat serta golongan profesional khususnya dalam kalangan doktor.
“Doktor adalah kumpulan profesional yang sangat sensitif. Ini yang saya tahu daripada pengalaman Datuk Seri Dr. Wan Azizah. Sebab itulah pentingnya untuk memahami polisi ekonomi mikro dan kelemahannya pasti ada,” katanya.
Dalam pada itu Anwar berkata, CRM perlu menerokai kerjasama lebih luas bagi menghasilkan penemuan baharu di samping mampu mengurangkan kos perubatan.
Katanya, penyelidikan klinikal perlu dipertingkat dengan kerjasama serantau, khususnya dengan negara-negara ASEAN serta diperluaskan dalam mendepani cabaran era digital serta kecerdasan buatan (AI).
“Industri perubatan boleh mendatangkan beban sekiranya hanya bergantung pada syarikat pengeluar besar yang mengaut keuntungan terlalu tinggi, bukan saja terhadap kerajaan tetapi juga kepada pesakit.
“Malah langkah tersebut penting memandangkan ketidaktentuan dalam pengumuman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump,” katanya.
Jadi katanya, negara ada pilihan sama ada untuk menunggu atau bertindak segera.
“Ini bermakna kita perlu melaksanakan penyelidikan bersama bagi memastikan kita dapat mempengaruhi perubahan dan mengimplementasikan reformasi secepat mungkin.
“Kita perlu meningkatkan penyelidikan klinikal dan kerjasama dengan ASEAN kerana ia amat penting dan memberi impak besar,” katanya.
Anwar turut memaklumkan, sejak 2012, sektor klinikal menyumbang lebih RM1.5 bilion kepada pendapatan negara dengan lebih 3,000 pekerja berkemahiran tinggi terlibat dalam sektor tersebut.