Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan pendiriannya bahawa parti-parti tempatan harus menjadi tonggak utama dalam menerajui Kerajaan Negeri Sabah, demi memastikan kepimpinan yang memahami realiti, budaya serta keperluan rakyat di negeri ini.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, GRS berpegang kepada prinsip bahawa Sabah wajar ditadbir oleh parti-parti tempatan, walaupun tidak mengetepikan peranan dan kepentingan parti nasional dalam kerangka kerjasama politik yang lebih luas.
“Sekiranya keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, sebarang penyimpangan daripada prinsip tersebut dilihat sebagai tindakan yang mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah.
“Apa yang GRS perjuangkan ialah kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat demi masa depan Sabah,” ujarnya.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri pada hari ini perlu terus diperkukuh kerana ia membawa kestabilan serta mewakili bentuk kerjasama yang menyumbang kepada kekuatan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Katanya, mengetepikan aspirasi tempatan dalam konteks politik Sabah adalah tidak selari dengan sentimen rakyat di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, Hajiji berkata, GRS akan mengadakan mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat bagi menetapkan hala tuju gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.
“GRS juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti-parti yang membentuk Kerajaan Negeri semasa untuk mendapatkan pandangan dan pendirian mereka,” tambah beliau.