KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegaskan bahawa penjawat awam tidak boleh lagi bekerja secara biasa-biasa memandangkan rakyat kini menuntut perkhidmatan yang pantas, efisien dan telus.
Beliau berkata, penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan berintegriti bukan lagi satu pilihan tetapi menjadi satu keperluan mendesak dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap jentera kerajaan terus terpelihara.
“Maka, marilah kita melipatgandakan usaha, memperkukuh semangat berpasukan, serta menjadikan nilai integriti sebagai teras dalam setiap tindakan kita,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang 2024 anjuran Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) di Pacific Sutera Harbour, di sini, malam ini. Ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih.
Majlis itu menghimpunkan warga kerja KKTP dari seluruh negeri bagi meraikan kecemerlangan dan sumbangan mereka yang telah menabur bakti.
Dr. Joachim berkata, integriti adalah asas kepada setiap bentuk kemajuan dan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam, dan ia perlu sentiasa dijadikan pemandu arah dalam setiap tindakan.
“Tanpa integriti, pencapaian yang dikecapi akan hilang nilainya. Ia bukan sekadar menjauhi salah guna kuasa tetapi menuntut ketelusan, kejujuran dan kesetiaan kepada amanah rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian merujuk kepada tema majlis tahun ini, “Integriti Dipacu, Kecemerlangan Dibina” yang menurutnya mengandungi makna mendalam dan wajar dijadikan pegangan oleh seluruh warga kementerian.
Pada majlis itu, seramai lima penjawat awam KKTP menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 manakala lapan lagi menerima Anugerah Khas atas daya tahan dan inovasi dalam bidang masing-masing.
Lembaga Bandaran Kudat pula diumumkan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan Cemerlang Tahun 2024, dengan Pegawai Eksekutifnya menerima Anugerah Kecemerlangan Khas atas kepimpinan dan komitmen yang ditonjolkan.
Dr. Joachim berkata, kecemerlangan dalam perkhidmatan bukanlah satu destinasi tetapi proses berterusan yang menuntut pembaharuan dan keberanian untuk berubah demi manfaat rakyat.
Beliau turut menekankan agar semua Pihak Berkuasa Tempatan tidak melengahkan urusan yang boleh disegerakan, seperti pemprosesan permohonan lesen, permit dan kemasukan ke Program Perumahan Rakyat (PPR).
“Permudahkan urusan stakeholder kita, jangan jadi penghalang kepada kelancaran perkhidmatan awam,” katanya sambil menyeru keteraturan dan ketelusan dipastikan dalam setiap peringkat pentadbiran.
Majlis itu turut menjadi medan penghargaan kepada warga KKTP yang bakal menamatkan perkhidmatan, termasuk Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais yang akan bersara hujung tahun ini.
Dr. Joachim menyifatkan Dr Jamili sebagai pemimpin berintegriti tinggi yang banyak menyumbang kepada kejayaan kementerian dan menjadi inspirasi kepada seluruh warga kerja.
Beliau menyeru agar penjawat awam terus berkhidmat dengan semangat berpasukan, keikhlasan dan jiwa rakyat yang tulen demi kelangsungan pembangunan negeri.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap I dan II, Tpr. Stanley Chong dan Faridah Giau serta Timbalan Presiden MPS, Wilson @ Terence Thomas.