RIYADH: Gelombang ribut pasir dan cuaca buruk melanda beberapa negara Arab, memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran keselamatan serta menggesa penduduk supaya mengurangkan aktiviti luar.
Menurut Utusan Malaysia, keadaan yang didorong oleh angin kencang membawa debu pasir dijangka berterusan hari ini, dan berkemungkinan berlanjutan sehingga hujung minggu di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Syria dan Iraq.
Di UAE, Pusat Meteorologi Kebangsaan melaporkan dua gelombang ribut pasir melanda rantau itu, di timur dan utara Teluk Arab serta satu lagi di Syria, Iraq serta utara Arab Saudi, menyebabkan penglihatan merosot dengan ketara.
Pusat itu meramalkan angin barat laut aktif akan terus membawa debu dan mengurangkan jarak penglihatan di seluruh UAE dalam dua hari akan datang, dengan suhu dijangka menurun menjelang Rabu, menurut satu video dimuat naik di platform X.
Susulan itu, penduduk dinasihatkan untuk mematuhi garis panduan keselamatan, mengelakkan pendedahan langsung kepada debu.
Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi turut mengeluarkan amaran di platform X, mengingatkan mengenai angin berdebu yang berterusan di beberapa wilayah sehingga hari ini.
Amaran tahan kuning turut dikeluarkan untuk hujan, angin kencang dan penglihatan terhad di Al Baha, selain amaran debu di Riyadh serta Qassim.
Mekah dan Madinah turut berdepan keadaan angin, manakala amaran tahap jingga dikeluarkan di Riyadh dan Wilayah Timur akibat gelombang debu.
Pusat itu menjangkakan angin akan terus membawa debu ke beberapa kawasan di seluruh negara hingga Rabu, manakala angin pantai dijangka menyebabkan ombak kuat.
Di Qatar, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran maritim di X, menjangkakan angin dan ombak kuat bermula Selasa hingga hujung minggu.
Pusat meteorologi Kuwait juga mengeluarkan nasihat mengenai angin kencang dan debu sejak semalam hingga hari ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Am Syria memaklumkan negara itu dijangka mengalami angin kencang, terutama di kawasan tengah, dengan keadaan yang membawa kepada ribut pasir.
Di Iraq, jabatan meteorologi meramalkan hujan berserta debu hingga Selasa.


































