WASHINGTON: Bermula minggu ini, Amerika Syarikat (AS) bakal menyaksikan perubahan dalam jumlah kemasukan kargo susulan pengumuman tarif oleh Presiden Donald Trump pada 2 April lalu, dengan hampir separuh daripada perniagaan mendapatkan bekalan mereka dari China.
Menurut Utusan Malaysia, larangan kargo dari China yang dimuatkan selepas 9 April tertakluk kepada tarif 145 peratus yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump.
Bagi kebanyakan pengimport, kos untuk menjalankan perniagaan dengan China kini terlalu mahal.
Perniagaan kini berdepan dilema, sama ada untuk terus menjual produk dari China pada harga lebih dua kali ganda daripada sebelumnya atau menghentikan penjualan.
Pengarah Eksekutif Pelabuhan Los Angeles, Gene Seroka menjangkakan kemasukan kargo ke Los Angeles menurun sebanyak 35 peratus berbanding tahun lalu.
Menurut Persekutuan Peruncit Kebangsaan, import ke AS pada separuh kedua tahun ini dijangka menurun sekurang-kurangnya 20 peratus berbanding sebelumnya.
Penurunan dari China dijangka lebih ketara, dengan JP Morgan menjangkakan sebanyak 75 peratus hingga 80 peratus dalam import dari negara tersebut.
“Jika tidak digantikan dengan import dari negara lain, kejatuhan sebesar ini bukan sahaja melonjakkan harga secara mendadak, tetapi juga mengganggu rantaian bekalan dengan ketara,” menurut laporan JP Morgan.
NILAI TAWARAN RUNDINGAN
Di Pelabuhan Shanghai, kapal kargo terbesar kini terbiar tanpa bergerak, sementara syarikat perkapalan mula menggunakan kapal lebih kecil untuk menghantar kargo apabila permintaan merosot.
Menurut syarikat logistik dan penghantaran kargo, Flexport, pelayaran dari China ke AS merosot sebanyak 60 peratus pada April.
“Syarikat yang mengendalikan kapal ini sudah membatalkan banyak pelayaran.
“Banyak kapal kini hanya terbiar di luar pantai China, menunggu dan mengharapkan satu perjanjian dicapai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Flexport, Ryan Peterson.
Semalam, China mendakwa sedang menilai tawaran AS untuk berunding mengenai tarif, namun menggesa Washington menunjukkan ‘keikhlasan’ dan bersedia memansuhkan tarif yang mengganggu pasaran global serta rangkaian bekalan.
Sebelum ini, Trump berulang kali mendakwa China menghubungi Washington untuk berunding, dan menyatakan keyakinan terdapat peluang kedua-dua negara itu mencapai satu perjanjian.
Kementerian Perdagangan China pada Jumaat mengesahkan perkara itu dan menyatakan Beijing kini sedang menilai tawaran tersebut.
Sebanyak 25 peratus kargo yang tiba di pelabuhan Pantai Timur AS datang dari China.
Namun, pelabuhan tersebut melaporkan semakin banyak barangan kini datang dari Vietnam, Malaysia dan Asia Tenggara, apabila peruncit berusaha mengalihkan pengeluaran untuk mengelak daripada dikenakan tarif dari China.
IMPAK PADA PERUNCIT
Rakyat Amerika bergantung kepada China untuk ribuan jenis produk, termasuk pakaian, kasut, elektronik dan cip mikro.
Kemasukan ‘terakhir’ untuk barangan import sebelum tarif hanya boleh bertahan untuk beberapa minggu sahaja dalam pasaran.
Kemudian, stok yang dikenakan tarif akan mula memenuhi pasaran dengan harga yang lebih mahal.
Tinjauan baharu firma penyelidikan, Gartner, 45 peratus pemimpin rantaian bekalan menjangkakan pemindahan kos tambahan akibat tarif kepada pelanggan.
Naib Presiden Persekutuan Peruncit Kebangsaan, Jonathan Gold berkata, walaupun peruncit besar boleh menyimpan stok dalam jumlah banyak, perniagaan kecil tidak mempunyai kelebihan tersebut.
“Terdapat banyak kebimbangan. Pada masa ini, peruncit cuba merancang tempahan untuk musim persekolahan dan Krismas.
“Bagi peruncit kecil yang tidak mampu menyerap kesan tarif, mereka kini sedang menilai langkah seterusnya,” kata Gold.


































