KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki wanita maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan di Jalan UMS berhampiran Plaza Alam Mesra, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 malam dan turut melibatkan dua buah motosikal serta dua orang pejalan kaki wanita.
“Siasatan awal mendapati, seorang penunggang motosikal wanita sedang dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke arah Sepanggar apabila dua pejalan kaki terbabit tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Delima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, disebabkan jarak yang terlalu dekat dan tindakan melintas secara mengejut, penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak lalu merempuh kedua-dua pejalan kaki terbabit.
“Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, sebuah lagi motosikal yang tidak diketahui jenis dan nombor pendaftarannya turut dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
“Penunggang motosikal berkenaan melarikan diri dari lokasi kejadian dan masih belum dikenal pasti,” katanya.
Kasim berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan.
































