Orang ramai berhimpun menuntut pemansuhan ICE serta dasar imigresen Donald Trump, di New York, AS.
WASHINGTON: Penguatkuasaan Kastam dan Imigresen Amerika Syarikat (ICE) cuba ‘memisahkan’ keluarga warga asing secara senyap dengan melancarkan operasi besar-besaran menyasarkan golongan kanak-kanak pendatang yang tiba bersendirian ke negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, sejak beberapa bulan lalu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dan ICE menjalankan ‘pemeriksaan kebajikan’ terhadap kanak-kanak yang tiba seorang diri melalui sempadan AS-Mexico, kononnya untuk memastikan mereka tidak dieksploitasi.
Namun, dokumen dalaman ICE yang diperoleh kumpulan advokasi Projek Imigresen Kebangsaan menunjukkan tujuan sebenarnya termasuk tindakan penguatkuasaan dan kemungkinan pendakwaan jenayah terhadap kanak-kanak ini atau penjaga dewasa yang melindungi mereka secara sah di AS.
OPERASI USIR KANAK-KANAK PENDATANG
Operasi dan dokumen baru-baru ini mengesahkan laporan Februari daripada Reuters, yang mendedahkan pentadbiran Presiden Donald Trump mengarahkan ICE untuk mengesan dan mengusir kumpulan ini.
Pentadbiran Trump juga mengurangkan peruntukan bantuan guaman kepada pendatang kanak-kanak yang tiba bersendirian, walaupun selepas campur tangan mahkamah malah data sensitif daripada agensi pemantau imigran kini dikongsi dengan ICE.
Antara yang paling dibimbangi apabila ICE menyasarkan kanak-kanak yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan samseng atau keganasan, walaupun bukti yang digunakan sering dianggap lemah.
Beberapa pendatang, terutamanya dari El Salvador dan Venezuela, ditangkap dan diusir menggunakan Akta Musuh Asing 1798, satu undang-undang lama yang jarang digunakan.
Menurut dokumen ICE, dua jabatan dalamannya iaitu Bahagian Penguatkuasaan dan Penyingkiran (ERO) serta Bahagian Siasatan Keselamatan Dalam Negeri (HSI) turut bekerjasama dalam operasi ini.
ERO bertanggungjawab mengusir pendatang manakala HSI lebih kepada siasatan jenayah seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Menurut Pengarah Eksekutif Pusat Keadilan Acacia, Shaina Aber dua jabatan tersebut juga kini menyasarkan kanak-kanak tanpa penjaga.
“Walaupun kerajaan mengatakan pemeriksaan ini bertujuan menjaga kebajikan golongan kanak-kanak yang tiba bersendirian, realitinya ia adalah operasi penguatkuasaan yang menyebabkan trauma kepada kanak-kanak dan keluarga.
“Sangat jelas apa yang mereka lakukan sebenarnya adalah mengumpulkan seberapa banyak maklumat mengenai golongan ini,” katanya.
KONGSI MAKLUMAT RAHSIA
Secara rasmi, kanak-kanak pendatang tanpa ditemani yang ditahan di sempadan akan diserahkan kepada Pejabat Penempatan Pelarian (ORR) di bawah Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Masyarakat (HHS), sebelum diletakkan di bawah jagaan saudara-mara atau penjaga sah di AS.
Namun, kebimbangan timbul apabila maklumat penjaga kini dikongsi semula dengan ICE.
Kanak-kanak bawah umur yang tidak ditemani perlu melalui prosiding panjang dan sementara itu dibenarkan mendaftar di sekolah.
Tetapi sejak pentadbiran Trump kembali, data mengenai status imigresen penjaga kini dikongsi semula hingga mencetuskan ketakutan penangkapan dan pengusiran besar-besaran.
The Washington Post melaporkan, agensi persekutuan lain juga menjalankan pemeriksaan kebajikan dan melaporkan maklumat kepada ICE.
Peguam Kanan Pusat Undang-Undang Belia Kebangsaan, Becky Wolozin berkata, sukar untuk ‘bersangka baik’ dengan ICE berdasarkan realiti keganasan dan trauma yang ditimbulkan terhadap golongan berkenaan.


































