Masiung menyampaikan baju Gagasan Rakyat kepada Micheal (dua dari kanan) pada majlis tersebut.
TONGOD: “Apa masalahnya kilang simen dibina dalam hutan? Takkan kita nak bina dalam bandar pula,” tegas Pengerusi Borneo Cement Sabah (BCS) Sdn. Bhd., Datuk Masiung Banah.
Beliau berkata, pembinaan kilang simen di kawasan hutan lebih sesuai memandangkan risiko pencemaran sisa pepejal dan udara dapat dikurangkan berbanding jika dibina berhampiran kawasan bandar.
“Bukankah lebih baik zon perindustrian kilang simen terletak jauh dari kawasan penempatan? Jika kita bina berdekatan bandar, sudah tentu ia akan menimbulkan masalah pencemaran yang kritikal,” katanya.
Tambah beliau, bahan-bahan utama untuk menghasilkan simen seperti batu kapur, tanah liat, pasir dan batu turut terdapat di sekitar kawasan industri itu.
Masiung berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kampung Sogo-Sogo, di sini, kelmarin.
Beliau mengulas kenyataan sinis yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 15 April lalu, yang mempersoalkan pembinaan kilang tersebut.
Bung mendakwa kilang berkenaan tidak praktikal kerana dibina di kawasan hutan tanpa bekalan elektrik, air dan akses jalan raya yang sempurna. Beliau turut mendakwa pelabur utama kilang itu telah menarik diri dan aktiviti pembalakan kini berlaku di kawasan terbabit.
Masiung yang juga ADUN Kuamut menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan mempertikaikan mengapa Bung tidak menyokong projek yang memberi impak besar kepada ekonomi daerah Tongod.
“Saya hairan mengapa beliau membantah, sedangkan projek ini berpotensi menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta membuka ruang perniagaan bagi masyarakat Tongod, yang merupakan antara daerah termiskin di Malaysia.
“Mungkin Bung ada agenda lain kerana tindakannya itu telah menimbulkan kemarahan penduduk tempatan, seolah-olah projek pembinaan kilang klinker ini akan gagal,” katanya.
Masiung menasihatkan Bung supaya tidak mudah melatah berdasarkan khabar angin atau cerita kedai kopi, sebaliknya turun sendiri melihat perkembangan kerja awal yang sedang dijalankan di tapak projek berkenaan.
Beliau turut menafikan wujud aktiviti pembalakan di kawasan tersebut kerana hampir keseluruhan zon perindustrian itu hanya dipenuhi batu kapur.
Katanya, pelabur utama projek itu, Sinoma International Engineering Co. Ltd dari China bersama BCS kini giat menjalankan kerja pembinaan jalan dari tapak kilang di Kampung Kayawoi menuju ke jalan utama di Kampung Matiku, Nabawan.
Selain itu, kerja-kerja penyambungan elektrik dan air juga sedang dilaksanakan, termasuk pembinaan menara telekomunikasi berasaskan gentian optik bagi melancarkan sistem perhubungan.
Projek kilang klinker dan simen bernilai RM1.2 bilion itu telah dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada April tahun lalu.
Pada majlis sama, Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut menerima kemasukan 112 ahli baharu diketuai bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru, Micheal Tamoi yang menyertai Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut.


































