Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe menegaskan bahawa tiada syarikat menarik diri daripada projek pelaburan kilang simen di Tongod seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag).
Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS), semua pihak yang terlibat dalam pelaburan tersebut masih komited terhadap pelaksanaan projek berkenaan.
“BCS mengesahkan tiada penarikan diri berlaku. Semua pihak kekal komited dengan perancangan pelaburan yang telah dipersetujui,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kelmarin.
Phoong berkata, BCS kini sedang menunggu kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) sebelum memulakan pembinaan penuh kilang tersebut.
Namun begitu, kerja tanah di tapak projek telah diluluskan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah.
“Pembinaan kilang ini akan dijalankan secara turnkey oleh Sinoma Industrial Engineering (M) Sdn Bhd, pengeluar simen terbesar di dunia,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa lesen pengilang bagi projek ini telah diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)/Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada tahun 2023.
Menjawab isu berkaitan pengambilan balak di kawasan tapak kilang, Phoong berkata, kawasan berkenaan adalah bekas konsesi Rakyat Berjaya Sdn Bhd dengan kerjasama Syarikat Indah Serimas Sdn Bhd.
Katanya, kawasan tersebut sebelum ini digunakan untuk aktiviti ‘stumping’ dan masih terdapat stok balak lama yang belum dikeluarkan kerana belum selesai proses pembayaran cukai.
“Tiada aktiviti pembalakan baharu dijalankan sejak hujung tahun 2023. Semua operasi pembalakan aktif telah dihentikan,” katanya.
Jabatan Perhutanan Sabah juga mengesahkan tiada aktiviti penebangan baharu berlaku ketika ini, melainkan urusan pengeluaran stok balak lama.
Phoong turut menjelaskan pemilihan lokasi kilang simen di Tongod dibuat berdasarkan ketersediaan bahan mentah utama seperti batu kapur, shale, batu pasir dan tanah liat.
“Kemudahan sumber yang mampan menjadikan lokasi ini ideal untuk kilang bersepadu klinker dan simen,” katanya.
Kilang tersebut dibangunkan berkonsepkan ‘mine-mouth’ dan ‘captive’, iaitu berhampiran dengan sumber bahan mentah.
“Ini dapat mengurangkan impak alam sekitar dan kerosakan jalan raya akibat pengangkutan bahan mentah,” katanya.
Kilang itu dijangka menghasilkan 1.75 juta metrik tan simen setahun, dengan 1.2 juta metrik tan dihantar ke Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) di Sepanggar untuk pembungkusan.
Selebihnya, sebanyak 500 ribu metrik tan, akan dieksport ke luar negara.
SEDCO memiliki kepentingan dalam kedua-dua syarikat BCS dan CIS, sekali gus menolak sebarang dakwaan persaingan antara kedua-dua entiti.
“CIS kini mengimport hampir kesemua bahan mentah dari luar negara, yang mendedahkannya kepada risiko kadar tukaran mata wang asing dan kos logistik,” katanya.
Projek ini dijangka dapat mengurangkan harga simen di Sabah sebanyak lima peratus daripada harga pasaran semasa.
Menurut Phoong, projek tersebut juga akan merangsang pembangunan infrastruktur asas di kawasan sekitar termasuk jalan raya, elektrik dan internet berkelajuan tinggi.
“Penduduk setempat akan menerima manfaat langsung daripada peningkatan kemudahan ini,” katanya.
Pelaburan RM1.1 bilion ini juga dijangka menjana 1,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan, dengan keutamaan diberikan kepada penduduk Tongod.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Sarifuddin Hata (Merotai) mengenai pengeksportan pasir silika, Phoong menegaskan tiada pengeksportan dibenarkan tanpa kelulusan rasmi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Katanya, eksport bahan mentah ini hanya akan dipertimbangkan selepas keutamaan penggunaan domestik diberikan untuk tujuan hiliran.
Pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (CJN) terhadap pasir silika adalah sebahagian daripada mekanisme kawal selia untuk mengelakkan eksport bahan mentah secara berlebihan.
“Langkah ini juga mampu meningkatkan hasil negeri dan mencerminkan komitmen terhadap pembangunan sosioekonomi mampan,” katanya.
Dalam isu berkaitan pelaburan bernilai RM6.4578 bilion yang diumumkan, Phoong memaklumkan hanya RM1.0468 bilion telah direalisasikan setakat ini, melibatkan lapan syarikat dalam sektor pembuatan.
Selebihnya masih dalam proses pelaksanaan.
Katanya, sudah tiba masa Sabah merancang dan menyediakan taman perindustrian baharu bagi menampung keperluan usahawan serta pelabur domestik dan antarabangsa.
Beliau berkata, tiga taman perindustrian baharu sedang diberi tumpuan iaitu di Kudat, Kota Belud dan Beaufort.
“Pembangunan asas dan infrastruktur sedang disediakan agar taman-taman ini bersedia menerima pelaburan secara berfasa,” katanya.
Masterplan bagi Taman Perindustrian Kota Belud sedang disediakan oleh KKIP Sdn Bhd, manakala Taman Ekonomi Biru Kudat oleh SEDCO dan pelan konsep Taman Perindustrian Beaufort pula sedang disediakan oleh SOGDC.
































