Hajiji menggulung perbahasan untuk Jabatan Ketua Menteri di DUN Sabah.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memaklumkan bahawa gangguan bekalan elektrik di Sabah menunjukkan trend penurunan ketara susulan pelaksanaan pelbagai langkah mitigasi dan pemantauan berterusan.
Menurut beliau, berdasarkan data Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), purata jidar simpanan atau reserve margin ketika ini berada pada tahap 12.4 peratus dan dijangka meningkat kepada 20 peratus menjelang Julai 2025.
“Peningkatan ini penting untuk memastikan kestabilan sistem bekalan elektrik dan mengelak catuan yang memberi kesan kepada rakyat dan ekonomi negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk Jabatan Ketua Menteri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.
Hajiji turut memaklumkan bahawa kadar catuan bekalan elektrik telah menurun dengan ketara berbanding tahun lalu.
“Sebagai perbandingan, pada Mac 2025 hanya empat kali catuan berlaku berbanding 13 kali pada bulan yang sama tahun lalu — iaitu penurunan sebanyak 69 peratus,” katanya.
Begitu juga pada April 2025, hanya satu kejadian catuan direkodkan, berbanding tiga kali pada April 2024 — penurunan sebanyak 67 peratus.
Namun begitu, Hajiji menjelaskan bahawa sebahagian besar gangguan tahun ini berpunca daripada isu teknikal di luar jangkaan.
“Antara punca utama ialah gangguan pembekalan gas oleh PETRONAS baru-baru ini yang menyebabkan kekurangan kapasiti penjanaan,” jelasnya.
Selain itu, gangguan sementara turut berlaku di loji solar Tadao, Kudat berikutan cuaca mendung tebal secara tiba-tiba yang menyebabkan kehilangan tenaga mendadak.
Terdapat juga insiden di Pencawang Masuk Utama Segaliud pada April 2025, namun tindakan pantas pihak Grid System Operator dan SESB berjaya meminimumkan kesan gangguan kepada hanya satu jam.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri memandang serius isu bekalan elektrik dan telah mengambil langkah jangka pendek serta jangka panjang.
“Pelbagai langkah mitigasi interim dan fast track telah diluluskan oleh Majlis Tenaga Sabah yang bersidang sebanyak tiga kali pada tahun 2024,” ujarnya.
Antara langkah tersebut termasuk menambah kapasiti penjanaan baharu serta meningkatkan kecekapan penyampaian tenaga dari loji ke pengguna.
Katanya, usaha ini penting dalam menghadapi permintaan bekalan elektrik yang semakin meningkat akibat pembangunan pesat negeri.
Kerajaan juga sedang memperkukuh infrastruktur tenaga secara menyeluruh termasuk pelaburan dalam tenaga boleh baharu.
“Infrastruktur tenaga yang kukuh adalah asas penting untuk pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.
Hajiji turut memberi jaminan bahawa Kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan SESB dan agensi berkaitan bagi memastikan bekalan elektrik stabil dan mencukupi di seluruh Sabah.
“Kita tidak mahu rakyat terus dibebani dengan gangguan berulang. Kerajaan serius untuk menyelesaikan isu tenaga secara menyeluruh dan mampan,” katanya.
Beliau berharap semua pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri dan pengguna memahami cabaran teknikal sedia ada, namun percaya usaha yang sedang dijalankan akan membuahkan hasil dalam masa terdekat.


































