Jahid Jahim
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim menegaskan bahawa kementeriannya komited dalam memastikan ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk menyelesaikan isu-isu berkaitan pembinaan rumah yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menggulung untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 4,028 unit rumah telah siap dibina setakat 8 April 2025, manakala 454 unit lagi masih dalam pelaksanaan. Bagi kuota 2025, projek masih di peringkat pra-pelaksanaan.
Mengulas dakwaan projek terbengkalai di kawasan DUN Lamag, beliau menjelaskan pemantauan telah dijalankan dan mendapati pembinaan masih berjalan dengan 51 unit rumah telah siap dibina. Purata kemajuan fizikal telah mencapai 80 peratus.
Masalah kelewatan menurutnya berpunca daripada kekangan tenaga kerja di pihak kontraktor. Namun, kontraktor telah memberikan komitmen untuk menyiapkan baki rumah secepat mungkin.
Berhubung dakwaan penerima tidak layak, Jahid menegaskan pemilihan dibuat berasaskan garis panduan dan syarat ketat termasuk pendaftaran dalam sistem e-Kasih, status OKU, mangsa bencana, atau memiliki rumah daif.
“Siasatan akan dijalankan terhadap mana-mana penerima yang tidak menepati syarat, bagi memastikan integriti program ini terpelihara,” tegas beliau.
Menjawab isu pembangunan kawasan MESEJ Bangkaruan di Silam, beliau menyatakan kementerian terbuka untuk menilai cadangan kawasan baharu tertakluk kepada kesesuaian tapak.
Beliau turut memperincikan proses pemilihan penerima Rumah Mesra SMJ melibatkan senarai daripada ADUN setempat, lawatan tapak oleh pegawai e-Kasih, dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Focus Group Daerah.
Kaedah pembinaan boleh menggunakan kaedah konvensional atau Sistem Binaan Berindustri (IBS) bergantung kepada faktor lokasi, kos dan akses bahan binaan.
Jahid mempertahankan penggunaan IBS yang terbukti fleksibel, kos efektif dan menepati piawaian teknikal walaupun turut dibangkitkan isu ketahanannya oleh beberapa ADUN.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan program kemahiran di bawah Pusat Kemahiran Desa akan diteruskan, dengan penganjuran dijadualkan pada Julai 2025.
Isu pembinaan rumah atas air seperti dicadangkan ADUN Tanjung Papat ditolak kerana faktor keselamatan dan pengalaman buruk projek PPRT terdahulu.
Untuk DUN Merotai pula, penilaian reka bentuk rumah akan ditentukan oleh Majlis Perbandaran Tawau berdasarkan faktor keselamatan dan risiko banjir.
Beliau juga menjelaskan isu rumah tidak berpenghuni akibat pembinaan rumah tidak bertiang di kawasan banjir, akan ditangani melalui penambahbaikan dalam penilaian tapak.
Isu bekalan air dan elektrik turut disentuh dengan penjelasan bahawa pemasangan tiang tambahan elektrik akan dilakukan bermula tahun ini, manakala semua rumah telah dibekalkan tangki air.
Menjawab isu rumah yang belum disiapkan, beliau menjelaskan bahawa rumah tersebut masih dalam pelaksanaan dan kementerian tidak akan membayar kontraktor selagi tidak siap.
Jahid turut menyatakan bahawa sebahagian besar rumah di bawah program SMJ telah berjaya dibina sempurna, dan hanya segelintir menghadapi cabaran.
Cadangan semakan kos pembinaan rumah juga telah dilaksanakan pada 2023 dengan kenaikan kepada RM80,000 bagi rumah tidak bertiang dan RM85,000 bagi rumah bertiang.
Beliau turut menyatakan kesediaan kementeriannya untuk mengkaji semula kadar kos mengikut lokasi bandar dan luar bandar seperti yang disarankan beberapa ADUN.


































