Jonnybone ketika ditemui media.
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Jonnybone Kurum menyelar laporan portal berita Malaysiakini yang didakwanya memutarbelit kenyataan beliau berhubung isu rasuah.
“Saya kecewa dengan laporan Malaysiakini yang memetik ulasan ADUN Merotai, seolah-olah saya mengakui wujudnya skandal rasuah di Sabah.
“Saya ingin menjelaskan bahawa laporan tersebut perlu diperbetulkan kerana ucapan asal saya telah disalah tafsir. Dalam ucapan sebenar, saya menyebut ‘kerajaan semasa yang dahulu’, namun Malaysiakini melaporkannya sebagai ‘kerajaan semasa atau yang dahulu’,” kata Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah II itu pada satu sidang media diadakan di sini hari ini.

Jonnybone menunjukkan frasa berkenaan dalam teks ucapan perbahasan rasmi bertarikh 14 April 2025.
Jonnybone berkata, perbezaan frasa tersebut telah digunakan bagi memberi gambaran seolah-olah beliau menyokong amalan rasuah pada masa lalu dan sekarang.
“Ini membawa persepsi seakan-akan saya menganggap rasuah sebagai sesuatu yang biasa dalam pentadbiran, sedangkan saya langsung tidak berkompromi dalam hal ini,” tegasnya.
Jonnybone turut menegaskan pendiriannya bahawa beliau sentiasa tegas menentang rasuah sama ada sebagai wakil rakyat mahupun sebagai rakyat Sabah.
“Itulah sebabnya saya nyatakan dalam Dewan Undangan Negeri bahawa jika Sabah bebas daripada rasuah, negeri ini sudah pasti akan lebih maju.
“Saya menyerahkan kepada jabatan serta agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk membanteras rasuah agar mengambil tindakan sewajarnya,” tambah beliau.
Beliau menjelaskan, isu rasuah adalah sesuatu yang rumit dan sukar dikenal pasti secara jelas.
“Kadang-kadang kita tidak tahu bagaimana amalan rasuah itu berlaku. Jika benar berlaku, biarlah PDRM dan SPRM menyiasat dan mahkamah menentukan,” katanya.
Beliau turut kesal apabila pihak pembangkang melabelkan kenyataannya secara tidak tepat, seolah-olah beliau menganggap rasuah sebagai amalan biasa yang tidak perlu disiasat.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan itu. Saya bersama-sama dengan semua pihak untuk menyelesaikan isu rasuah demi memastikan rakyat Sabah menerima perkhidmatan terbaik,” katanya.
Jonnybone turut mempersoalkan integriti laporan Malaysiakini yang menurutnya boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pemimpin.
“Kita harap pihak pembangkang dapat memberi kerjasama dan maklumat yang tepat. Jangan hanya menuding jari semata-mata untuk meraih keuntungan politik, apatah lagi menjelang pilihan raya.
“Tindakan seperti ini hanya akan mengundang ketidakstabilan politik di Sabah,” katanya.


































