James Ratib
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah memperkenalkan Skim Bantuan Kesihatan SMJ “Sabah Sejahtera” sebagai usaha meringankan beban pesakit buah pinggang tahap akhir daripada golongan kurang berkemampuan di negeri ini.
Menterinya, Datuk James Ratib berkata, sebanyak RM8.5 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun ini bagi skim tersebut, melibatkan RM4 juta bagi kos rawatan dan RM4.5 juta untuk pembelian mesin hemodialisis.
“Kerajaan Negeri menanggung sepenuhnya kos rawatan hemodialisis di hospital dan klinik kerajaan serta rawatan CAPD di rumah,” katanya menggulung untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
James turut memaklumkan bahawa sebanyak 100 buah mesin hemodialisis akan dibekalkan ke 25 hospital dan klinik sebagai penggantian kepada 474 mesin yang sudah tidak berfungsi dengan baik.
Skim ini kini memberi tumpuan kepada rawatan pesakit buah pinggang, namun kementerian merancang untuk meluaskan skopnya kepada perkhidmatan rawatan lain berdasarkan keperluan.
Menjawab pertanyaan Datuk Juil Nuatim (Limbahau), James mengakui keperluan teknologi rawatan baharu bagi penyakit talasemia dan menegaskan sebarang teknologi baharu perlu melalui proses penilaian ketat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, Klinik Kesihatan Penampang telah diluluskan untuk dinaiktaraf kepada Jenis 3 di bawah Rolling Plan Keempat RMKe-12, manakala Hospital Penampang dicadangkan dalam RP1 RMKe-13 dengan tapak baharu dikenalpasti di Kampung Maang.
Mengulas isu pesakit buah pinggang di Sandakan, beliau menyatakan Hospital Duchess of Kent (HDOK) merekodkan peningkatan jumlah pesakit hemodialisis dan CAPD dari tahun ke tahun.
“Sebanyak RM22 juta diperuntukkan untuk kerja naik taraf HDOK pada tahun ini,” katanya sambil menambah kerajaan negeri bekerjasama dengan KKM bagi menambah jawatan doktor pakar dan petugas kesihatan.
Beliau juga memaklumkan keperluan tempat letak kereta bertingkat di HDOK ditangani melalui peminjaman tanah bersebelahan, perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan serta kemungkinan penglibatan pihak swasta.
Bagi Hospital Tawau, proses tender sedang dijalankan bagi sistem makmal catheterization (cath lab), selaras dengan usaha menjadikan hospital itu pusat rawatan jantung invasif di Pantai Timur Sabah.
James turut memberi jaminan bahawa isu kesesakan di Klinik Kesihatan Tawau akan diatasi melalui penaiktarafan fasiliti kesihatan sekitar seperti Klinik Kubota, Kinabutan dan Taman Semarak.
Sebanyak lapan unit mesin hemodialisis juga akan diagihkan ke Hospital Tawau dalam waktu terdekat sebagai langkah memperkukuh perkhidmatan nefrologi.
Menyentuh perkhidmatan pembersihan dan keselamatan di fasiliti kesihatan, beliau berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan perluasan perkhidmatan tersebut kepada KKM melalui JKNS.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan bahawa Klinik Kesihatan Kemabong akan menerima mesin hemodialisis baharu, manakala keperluan klinik lain juga akan diberi pertimbangan berdasarkan kesesuaian.
Menurut James, sesebuah hospital hanya boleh berstatus “Hospital Negeri” sekiranya memiliki minimum 40 perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran. Hospital Tawau dan HDOK kini masing-masing mempunyai 18 dan 16 perkhidmatan tersebut.
“Bagi soalan tambahan yang tidak sempat dijawab, kementerian saya akan beri jawapan bertulis kepada ADUN terbabit,” katanya.


































