Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah mewajibkan agar 30 peratus daripada jumlah rumah yang dibangunkan diperuntukkan kepada pembeli bumiputera bersama hak untuk memilih lot rumah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, dasar itu bertujuan memacu pembangunan perumahan yang lebih seimbang dan inklusif di seluruh negeri.
Katanya, Dasar Pemilikan Lot Rumah oleh pembeli bumiputera telah dikaji semula dan beberapa penambahbaikan penting diperkenalkan selaras dengan aspirasi keadilan sosial dan pemerkasaan ekonomi rakyat.
“Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk pemberian diskaun lima peratus kepada pembeli bumiputera serta pemansuhan larangan menjual semula lot bumiputera kepada bukan bumiputera,” katanya ketika menggulung untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Dr. Joachim berkata, pelaksanaan dasar baharu ini dijangka memberi impak besar terhadap kadar pemilikan hartanah bumiputera di Sabah, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Beliau turut memaklumkan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada fokus strategik kementeriannya dalam memastikan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Selain perumahan, kementeriannya juga menumpukan kepada usaha mengukuhkan keterjaminan makanan dan produktiviti pertanian melalui pendekatan perancangan guna tanah yang sistematik.
“Majlis Perancang Negeri telah menetapkan pengekalan Kawasan Zon Konservasi Padi dalam semua 49 Pelan Tempatan dan 25 Pelan Daerah,” jelas beliau.
Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW) juga telah mengenal pasti kawasan zon pertanian dalam skim perancangan bagi memastikan kesinambungan pengeluaran makanan.
Mengulas industri pelancongan, Dr. Joachim berkata, kementeriannya memberi penekanan kepada peningkatan imej bandar dan daerah melalui perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah penarafan tandas awam sekurang-kurangnya 3 bintang ke atas serta pelaksanaan program Jelajah i-Hijau KKTP di Kuala Penyu dan Tenom.
“Kita juga menganjurkan Program Rakan Lestari dan seminar Sabah Landscape Exchange (SLEX) untuk memupuk kesedaran terhadap kelestarian landskap,” katanya.
Dalam aspek transformasi digital, kementerian kini sedang melaksanakan sistem digitalisasi perkhidmatan kerajaan tempatan bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kerenah birokrasi.
Antara sistem yang sedang dibangunkan termasuk eJKDB, ePBT di 13 PBT negeri Sabah, dan sistem pemantauan projek perumahan swasta.
Bagi memperkukuh integriti perkhidmatan awam, dua inisiatif telah dilaksanakan iaitu Program Penempatan Silang (ProPS) dan Penempatan Secara Pinjaman bagi pegawai PBT.
Mengenai isu pemilikan rumah mampu milik, Dr. Joachim berkata kementerian telah menyemak semula harga dan syarat pembinaan untuk menarik minat lebih ramai pemaju.
“Harga Rumah Mampu Milik ditetapkan antara RM150,000 hingga RM380,000, bergantung kepada lokasi, dengan keluasan minimum 850 kaki persegi dan tiga bilik tidur,” jelasnya.
Katanya, di Kota Kinabalu, pemaju juga dibenarkan membina unit studio dan rumah dua bilik, dengan harga maksima tetap pada RM447 sekaki persegi.
Dr. Joachim turut menjelaskan bahawa harga rumah yang dibina oleh pemaju swasta tidak dikawal oleh kerajaan, sebaliknya bergantung kepada faktor pasaran, bahan binaan dan kos pengangkutan.
Beliau berkata, pihak kementerian melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) telah menawarkan unit PPR kepada penghuni rumah pangsa Tanjung Aru yang layak berpindah.
Malah, permintaan penghuni untuk memilih lokasi PPR tertentu juga telah diberi pertimbangan berdasarkan alasan yang dikemukakan.
Mengulas isu setinggan, beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Induk Setinggan telah melaksanakan beberapa pendekatan, termasuk penggazetan, penempatan semula dan pembinaan rumah secara in-situ.
Bagi kawasan yang didiami oleh bukan warganegara, beliau menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil dengan mengambil kira aspek kemanusiaan dan keselamatan rakyat tempatan.
“Kita juga bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen bagi memastikan undang-undang berkaitan dipatuhi,” katanya.
Dalam isu pengurusan sisa pepejal, kementerian kini melaksanakan pengasingan dari punca serta penggunaan mesin komposter dan pembinaan pusat lestari untuk menyokong amalan kitar semula.
Kementerian turut memperkenalkan kaedah pirolisis untuk pelupusan sisa pepejal secara percubaan di Sandakan dan Papar.
Dr. Joachim berkata, cadangan menaiktaraf tapak pelupusan dan pembinaan tapak pelupusan baharu telah dimasukkan dalam RMK12 dan akan diteruskan dalam RMK13.
Beliau turut memberi jaminan bahawa semua isu berbangkit yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan seperti penyelenggaraan pasar, lampu jalan, parit, dan tandas awam akan diberi perhatian serius oleh kementeriannya.
“Kementerian saya komited memastikan setiap rakyat Sabah mempunyai akses kepada kediaman yang selesa, mampu milik dan persekitaran kehidupan yang bersih dan teratur,” tegas beliau.


































