Dr. Jeffrey Kitingan
KOTA KINABALU: Barang rampasan seperti ayam atau daging sejuk beku tidak pernah dilelong, sebaliknya kesemua rampasan ini dilupuskan sepenuhnya bagi mengelakkannya berada di pasaran dan dijual kepada pengguna beragama Islam.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, hal tersebut dilakukan memandangkan status halalnya yang diragui.
Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bertanggungjawab dalam mengawal kemasukan ayam sejuk beku ke Sabah dan pihak yang melaksanakan penguatkuasaan, DVS menjalankan penguatkuasaan di bawah Enakmen Haiwan 2015.
Katanya, DVS telah dan masih aktif menjalankan pemeriksaan serta tindakan penguatkuasaan terhadap kemasukan ayam sejuk beku tanpa lesen atau yang melanggar syarat lesen import.
Walau bagaimanapun, bagi membanteras penyeludupan secara lebih menyeluruh dan berkesan, Dr. Jeffrey berkata, tindakan penguatkuasaan secara bersepadu sering dilaksanakan bersama agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagi membanteras penyeludupan, katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA) akan berperanan sebagai agensi tunggal untuk mengimport bekalan ayam dari luar negara.
“Sekiranya operasi penyeludupan berjaya ditumpaskan, agensi yang mempunyai bidang kuasa paling sesuai dan mengenakan hukuman tertinggi akan bertindak sebagai agensi peneraju (lead agency) dalam membawa kes ke mahkamah.
“Kadar denda maksimum di bawah Enakmen Haiwan 2015 adalah lebih rendah berbanding akta-akta lain, iaitu RM50,000.00 jika dibicarakan di mahkamah dan RM25,000.00 melalui kompaun.
“Bagi DVS, rampasan dibuat sekiranya terdapat kesalahan seperti ketiadaan lesen import sah atau pelanggaran kepada syarat-syarat lesen. DVS tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan pengesahan sijil halal,” katanya semasa membahas untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Dr. Jeffrey berkata, operasi penguatkuasaan berkaitan status halal produk perlu dilaksanakan secara bersepadu bersama pihak berkuasa agama dan agensi lain yang berkaitan.
Menurutnya, pengurusan rampasan dilaksanakan berdasarkan kes demi kes (case by case). Agensi yang membuat tangkapan akan menguruskan proses tindakan lanjut berdasarkan bidang kuasa undang-undang masing-masing.
“Namun begitu, agensi-agensi berkaitan sentiasa bekerjasama. Contohnya, dalam kes yang dikendalikan di bawah Akta Kastam, DVS Sabah tetap memberi bantuan dari segi pelupusan barang rampasan,” kata beliau.
Sementara itu, Dr. Jeffrey memaklumkan bahawa Jemaah Menteri telah meluluskan Inisiatif Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar [Rural Agricultural Economic Revolution] atau singkatannya RAER pada 26 Mac 2025.
“Tidak dapat dinafikan bahawa perubahan iklim yang melampau dan kejadian bencana alam yang kerap berlaku pada masa ini berpotensi menjejaskan sekuriti dan pengeluaran makanan, sekiranya langkah proaktif tidak diambil untuk memperkukuhkan keterjaminan makanan.
“Justeru, pelbagai langkah dan usaha sedang diambil untuk mencegah kesan daripada perubahan cuaca dan menjadikan negeri Sabah sebagai pengeluar utama hasil pertanian di Malaysia dan Asia amnya.
“Antara program dan inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun ini ialah Program Pemodenan Penanaman dan Pengeluaran Padi di bawah kendalian Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) serta Pembangunan tanah-tanah terbiar di luar bandar melalui REAR,” katanya.
Dr. Jeffrey berkata, kedua-dua program berkenaan dijangka akan meningkatkan pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan, mengurangkan kadar kemiskinan seterusnya meningkatkan keterjaminan makanan dan pertumbuhan ekonomi.
Antara objektif-objektif pelaksanaan RAER adalah bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan keterjaminan makanan (Food Security) di Sabah khasnya dan Malaysia amnya.
Selain itu, RAER juga bertujuan meningkatkan pendapatan kumpulan sasar dan secara langsung mengeluarkan kumpulan sasar tersebut daripada golongan miskin dan miskin tegar.
Ia juga bagi membantu menggerakkan dan mempelbagaikan sumber ekonomi kumpulan sasar di luar bandar, sambil mengurangkan kadar pengangguran di luar bandar dan menjana dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah.
Beliau memberitahu bahawa MAFFI Sabah akan berperanan sebagai Lead Agency untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan RAER dengan kerjasama Kementerian, Jabatan, Agensi, Government-Linked Company (GLC), Government-Linked Investment Company (GLIC) serta pemegang taruh.
Antara strategi bagi menjayakan pelaksanaan RAER adalah seperti mewujudkan kesedaran dan keutamaan terhadap kepentingan RAER dalam kalangan masyarakat luar bandar Sabah.
Dalam masa yang sama, menggerakkan penyertaan komuniti luar bandar dalam program RAER dan meningkatkan kerjasama dan kolaborasi antara Kerajaan, swasta dan rakyat.
“Kita menyasarkan penyertaan 100,000 individu atau isi rumah dalam program RAER dengan penekanan terhadap keusahawanan, inovasi dan kecemerlangan, dalam masa yang sama mempromosikan slogan Unity is Duty sebagai elemen penyatuan dalam kalangan Kerajaan, swasta dan rakyat Sabah bagi memastikan kejayaan RAER.
“Kejayaan RAER bergantung kepada pengurusan tanah, tenaga kerja dan sumber lain yang berkaitan. Tanah bergeran yang berstatus NT yang akan digunakan adalah seperti Tanah kampung, Tanah yang dimiliki oleh Jabatan / Agensi di bawah MAFFI dan Tanah yang dimiliki oleh Jabatan / Agensi Negeri yang sesuai untuk program RAER.
“Terdapat seluas 3 juta hektar tanah bergeran berstatus Native Title (NT) di seluruh negeri Sabah. RAER akan menumpukan pelaksanaan program terhadap 10 peratus daripada keluasan tanah NT tersebut untuk membangunkan komuniti luar bandar,” katanya.
Tambah beliau lagi, pelbagai program di bawah inisiatif RAER yang telah dirancang termasuk tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan bernilai tinggi seperti durian Musang King, Kopi dan Koko, Akuakultur air tawar, Penternakan ayam pedaging dan penelur, ayam kampung dan ruminan, dan Pemprosesan/ industri asas tani.
Katanya, Program Pemodenan Penanaman Dan Pengeluaran Padi di bawah LPBS merupakan sebahagian daripada program RAER.
Katanya lagi, kolaborasi dan bantuan daripada Kementerian, Jabatan serta Agensi dalam pembinaan infrastruktur dan utiliti di kawasan luar bandar amatlah diperlukan bagi menjamin kejayaan inisiatif RAER.
Dr. Jeffrey memberitahu bahawa pelancaran RAER dijangka akan dilaksanakan dalam bulan Mei 2025 di mana ia akan melibatkan tempoh enam tahun iaitu mulai tahun ini 2025 hingga 2030.
Anggaran peruntukan yang diperlukan bagi inisiatif ini ialah sebanyak RM10 juta setahun dengan jumlah keseluruhan RM60 juta (expected outcome).
Dalam perkembangan lain, katanya, Dasar Pertanian Negeri Sabah 3 (DPNS3) 2017-2026, telah menetapkan sasaran Kadar Sara Diri (SSR) sebanyak 60% beras untuk negeri Sabah menjelang tahun 2030.
“Keluasan kawasan penanaman padi pada tahun tersebut di Sabah adalah 40,314 hektar dan menghasilkan 92,727 tan beras, dengan SSR sebanyak 25.66% daripada jumlah keseluruhan penggunaan beras negeri.
“Baki SSR sebanyak 74.34% adalah daripada beras import. Oleh yang demikian, kerajaan telah menubuhkan LPBS untuk reverse the trend,” katanya.
Tambah Dr. Jeffrey, MAFFI turut merangka strategi bagi memperkasakan pengeluaran dan penggunaan benih padi bermutu tinggi (HYV) TR8 yang berpotensi mencapai hasil sehingga 10 metrik tan/hektar.
“Kempen penanaman padi (HYV) TR8 dua kali setahun di kawasan sawah K1 dan K2 seluas 17,993.44 hektar bertujuan memaksimakan penggunaan tanah sawah padi di 21 buah daerah penanam padi.
“Pelbagai lagi kaedah seperti Pakej Rice Check dan Centralized Management Farming System (CMFS), Sistem E-Bajak, Inisiatif R&D dan lain-lain digunakan untuk memaksimumkan hasil padi,” katanya.
Beliau turut menyentuh tentang isu-isu berbangkit seperti pembangunan tanah-tanah terbiar; masalah kekurangan jentera padi; isu banjir di kawasan pertanian; pembinaan tembok atau dinding tebatan banjir; jalan-jalan pertanian rosak; keluaran hasil pertanian seperti nanas; isu berkenaan hal ehwal nelayan dan lain-lain.
Dalam ucapannya juga, beliau berkata, pertanian merupakan sektor ekonomi utama yang berperanan penting sebagai pemacu utama kepada peningkatan ekonomi di negeri Sabah.
“Sektor pertanian telah menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara dan memainkan peranan penting dalam mentransformasikan ekonomi negeri.
“Pada tahun ini, Kementerian saya bersama jabatan dan agensi di bawahnya komited untuk terus membangunkan sektor pertanian bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian serta menjana pendapatan kumpulan sasar, selaras dasar keterjaminan makanan (food security).
“MAFFI melalui jabatan dan agensi di bawahnya memfokuskan kepada pengukuhan keterjaminan makanan khususnya dalam meningkatkan bekalan makanan serta bahan mentah bagi industri pertanian dan mentransformasikan ekonomi luar bandar melalui revolusi pertanian luar bandar,” jelas beliau.


































