Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus komited mengamalkan prinsip tadbir urus kewangan yang berhemah, telus dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, kata Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Masidi berkata, garis panduan pengurusan kewangan holistik telah disediakan untuk memastikan perbelanjaan negeri memberi impak maksimum kepada rakyat.
“Kita menekankan ketelusan, akauntabiliti dan integriti sebagai asas pentadbiran. Pelbagai mekanisme kawalan telah diwujudkan bagi memastikan tiada pembaziran,” katanya ketika menggulung untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Masidi turut memberi maklum balas terhadap isu penyewaan ruang pejabat kerajaan di bangunan swasta, yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang).
Beliau berkata, sewaan ruang swasta dibuat atas pertimbangan keperluan teknikal dan lokasi operasi, memandangkan banyak bangunan kerajaan kini usang dan memerlukan kos penyelenggaraan tinggi.
Namun, katanya, Kerajaan sedang mengambil langkah untuk mengoptimumkan penggunaan aset sedia ada termasuk pelaksanaan audit menyeluruh terhadap semua bangunan milik kerajaan dan GLC.
“Tempoh sewaan kepada swasta juga akan dihadkan kepada tiga tahun sahaja, dan bangunan kerajaan yang tidak digunakan akan dinaik taraf secara berperingkat,” katanya.
Kerajaan juga akan menyewakan ruang lebihan kepada GLC dan pihak swasta bagi menjana hasil tambahan kepada negeri.
Dalam isu Barter Trade, Masidi memaklumkan bahawa sebanyak lapan permohonan telah diproses sepanjang tahun 2024 hingga awal 2025, dengan kesemua operasi tertumpu di daerah Sandakan.
“Tiada permohonan diterima bagi Tawau dan Kudat. Semua permohonan adalah berdasarkan SOP Barter Trade Negeri Sabah 2019,” jelasnya.
Menjawab pertanyaan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag) mengenai hasil ekonomi baharu, Masidi berkata, pendapatan langsung dari sektor ini masih belum direalisasikan.
Namun, Kerajaan menaruh harapan tinggi terhadap pembangunan ekonomi biru yang berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan masa depan.
“Antara fokusnya ialah kajian sumber mineral marin, bioteknologi laut dan penyusunan dasar ekonomi biru yang menyeluruh,” katanya.
Bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negeri, enam strategi turut diumumkan termasuk penstrukturan semula GLC, penambahbaikan kutipan hasil serta memperluas skop Cukai Jualan Negeri (CJN).
Dalam isu tuntutan Pemberian Khas, Masidi menegaskan Sabah kekal konsisten dan tegas menuntut hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip di negeri ini, seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Beliau juga membentangkan langkah tegas menangani ketirisan hasil, termasuk audit berkala, kerjasama dengan SPRM, Kastam, LKIM dan MPOB serta pengukuhan undang-undang CJN.
Menjawab isu Skim Perlindungan Insurans Berkelompok, Masidi mengesahkan pelaksanaannya bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2028 dengan peruntukan RM50 juta.
“Polisi ini menggunakan pendekatan ‘tanpa nama’ yang membolehkan semua warganegara Sabah layak menerima perlindungan secara automatik,” katanya.
Katanya, pendekatan ini mirip insurans pendaki Gunung Kinabalu dan dapat mengurangkan kerumitan pendaftaran terutama bagi penduduk luar bandar.
Skim ini juga menggunakan model ekonomi skala yang mampu menurunkan kos premium keseluruhan berbanding pelaksanaan individu.
“Pelaksanaan tanpa nama ini lebih cekap, pantas dan inklusif, serta memastikan tiada warganegara Sabah tercicir,” tambah beliau.
Kerajaan menggunakan anggaran penduduk 3.5 juta bagi perancangan, namun bayaran premium hanya dibuat berdasarkan jumlah warganegara yang sah, katanya menjawab pertanyaan Datuk Junz Wong (Tanjong Aru).
Masidi turut berkongsi statistik kemalangan jalan raya di Sabah yang menunjukkan peningkatan mendadak – 12,987 kes pada 2020 kepada 20,828 kes pada 2024.
“Jumlah kematian juga meningkat daripada 220 orang pada 2020 kepada 319 orang pada tahun lalu,” katanya.
Beliau menyifatkan pelaksanaan skim insurans berkelompok sebagai langkah proaktif menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada rakyat.
Program kesedaran dan jelajah penerangan skim ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan di peringkat daerah.
Dalam menjawab isu Cukai Jualan Negeri ke atas Produk Petroleum, Masidi menjelaskan kajian mengenai sumber hasil ini telah dimulakan sejak 2012 dan disiapkan pada 2014.
Namun, pelaksanaan hanya dibuat pada tahun 2020 selepas langkah serupa diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak pada tahun sebelumnya.


































