Isnin Aliasnih
SANDAKAN: Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan kini giat memperkasakan Menara Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sebagai aset produktif dan strategik untuk menjana pertumbuhan ekonomi di pusat bandar.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, bangunan sebelas tingkat yang terletak di tengah-tengah Sandakan itu dikenal pasti berpotensi besar untuk dimanfaatkan secara lebih optimum, khususnya dalam menarik pelaburan dan aktiviti ekonomi baharu.
“MPS sedang meneliti model pengurusan yang lebih sesuai, termasuk Model Sewa Pajakan (Lease Model) atau kerjasama Awam-Swasta (PPP) bagi memaksimumkan penggunaan ruang dan menjadikannya pusat ekonomi jangka panjang,” katanya ketika menjawab soalan daripada Datuk Frankie Poon Ming Fung (Tanjong Papat) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Poon meminta penjelasan mengenai langkah konkrit Kerajaan Negeri bagi memastikan bangunan tersebut tidak terus terbiar dan membebankan pihak berkuasa tempatan dari segi kos penyelenggaraan.
Isnin berkata, pendekatan itu diyakini mampu merancakkan lagi pembangunan kawasan bandar dengan penyertaan sektor swasta yang berperanan dalam menyediakan pelaburan serta perkhidmatan komersial.
“Kerajaan juga sedang menawarkan pakej sewaan yang lebih kompetitif untuk menarik minat syarikat korporat dan pelabur menjadikan Menara MPS sebagai pusat komersial utama,” tambahnya.
Langkah tersebut turut disokong dengan usaha menaik taraf infrastruktur asas di kawasan sekitar bangunan, termasuk pemasangan CCTV, pencahayaan, sistem perparitan dan langkah keselamatan lain.
Katanya, kerja-kerja menaik taraf ini penting bagi meningkatkan nilai daya tarikan bangunan tersebut, di samping mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif kepada penyewa serta pelabur.
“Selain itu, MPS boleh menjana hasil tambahan melalui hak pengiklanan di ruang papan iklan Menara MPS, sebagai sumber pendapatan alternatif kepada pihak berkuasa tempatan,” jelasnya lagi.
Isnin berkata, usaha ini seiring dengan hala tuju Kementerian untuk menjadikan Menara MPS sebagai aset strategik yang bukan sahaja digunakan secara optimum, malah berfungsi sebagai pemacu kepada aktiviti ekonomi setempat.
“Kita percaya, dengan komitmen pentadbiran MPS yang baharu dan pasukan pengurusan yang cekap, bangunan ini mampu menjadi titik tumpuan pembangunan ekonomi baharu di Sandakan,” ujarnya.
Beliau optimis bahawa semua langkah yang sedang dan akan dilaksanakan mampu mengembalikan fungsi pusat bandar Sandakan sebagai Central Business District (CBD) yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Katanya, inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada perancangan menyeluruh untuk menggiatkan semula pembangunan ekonomi bandar-bandar utama di Sabah.
Dalam masa sama, beliau menggesa agar sektor swasta mengambil peluang untuk turut serta dalam projek pengaktifan semula Menara MPS demi manfaat bersama.


































