WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan bangga mendakwa rakan bilionairnya meraih keuntungan besar di pasaran saham selepas beliau menggantung sebahagian besar tarifnya di seluruh dunia.
Menurut Utusan Malaysia, sasaran saham melonjak pada Rabu lalu, sebaik sahaja Trump membatalkan pelaksanaan tarif tersebut.
“Ini adalah masa yang baik untuk membeli,” kata Trump di Truth Social sejurus selepas pasaran dibuka dan mengumumkan penggantungan levi selama 90 hari, hanya empat jam setelah tarif timbal balas dikuatkuasakan.
Saham melonjak lebih tujuh peratus hanya beberapa minit selepas pengumuman Trump untuk menggantung tarif.
Pasaran akhirnya ditutup dengan kenaikan melebihi sembilan peratus.
Di Pejabat Oval, Rumah Putih pada Rabu, Trump menunjukkan dua tetamu bilionair yang hadir bersamanya.
“Dia untung AS$2.5 juta (RM11.07 juta) dan dia pula AS$900 juta (RM3.98 bilion). Ia sangat baik!,” kata Trump sambil menunjuk ke arah pelabur, Charles Schwab dan pemilik pasukan NASCAR, Roger Penske.
Mereka antara tetamu yang hadir terdiri daripada tokoh terkenal dalam dunia perlumbaan.
Schwab dianggarkan memiliki kekayaan sebanyak AS$12.9 bilion (RM57.11 bilion), manakala Penske AS$5.6 bilion (RM24.79 bilion).
Rabu lalu, Bloomberg melaporkan ‘hari terbaik dalam sejarah’ bagi golongan bilionair, apabila individu terkaya di dunia meraih AS$304 bilion (RM1.34 trilion) hasil lonjakan pasaran saham.
Keuntungan mendadak pada Rabu mencetuskan spekulasi mengenai manipulasi pasaran dan kemungkinan berlaku perdagangan orang dalam, apabila pengkritik Trump menuduh beliau memberi maklumat awal kepada rakan bilionair untuk membeli saham, setelah mengetahui penggantungan tarif akan melonjakkan harga saham.


































