WASHINGTON: Presiden Donald Trump menegaskan dasar tarifnya ‘berfungsi dengan baik’, walaupun China menaikkan levi ke atas barangan Amerika Syarikat (AS) sehingga 125 peratus.
Menurut Utusan Malaysia, pelabur mula melepaskan pegangan terhadap bon kerajaan AS, dolar merosot dan pasaran saham tidak menentu selepas tindakan balas Beijing terhadap Trump meningkatkan kebimbangan mengenai pasaran global yang sedia terjejas.
Trump menyebabkan pasaran kewangan merosot dengan mengumumkan cukai import menyeluruh ke atas puluhan rakan perdagangan minggu lalu.
Namun, beliau secara tiba-tiba menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari pada Rabu, sambil menaikkan tarif ke atas barangan dari China.
“Sangat mengujakan untuk Amerika dan dunia! Segalanya bergerak dengan pantas,” tulis Trump di platform Truth Social selepas China mengumumkan kenaikan tarif terbaharu itu.
Rumah Putih kemudian mendakwa, Trump kekal optimis terhadap kemungkinan mencapai perjanjian perdagangan dengan China.
Katanya, 15 negara lain turut mengemukakan tawaran untuk rundingan sepanjang tempoh jeda 90 hari tarif tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar, Karoline Leavitt menegaskan, Trump sudah menyatakan dengan jelas apabila AS diserang, beliau akan membalas dengan lebih dahsyat.
AS dan China, dua ekonomi terbesar dunia, saling berbalas tindakan dengan mengenakan tarif, yang mewujudkan ketegangan sejak minggu lalu.
Beijing mengumumkan tarif baharu sebanyak 125 peratus ke atas barangan AS berkuat kuasa pada Sabtu – hampir menyamai kadar mengejutkan 145 peratus yang dikenakan terhadap barangan China yang memasuki Amerika.


































