WASHINGTON: Donald Trump membawa perseteruannya dengan Barack Obama ke dinding Rumah Putih, dengan menggantikan potret bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu dengan gambar dirinya yang terselamat daripada cubaan pembunuhan.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Republikan tersebut memindahkan gambar Obama, satu-satunya kulit hitam dalam sejarah AS, ke sebelah lorong masuk utama kediaman terkenal itu.
Tindakan tersebut adalah sesuatu yang sangat luar biasa bagi seorang presiden yang masih berkhidmat, kerana kebanyakan mereka mesti menunggu untuk meninggalkan jawatan sebelum menggantung potret di bangunan bersejarah berusia 200 tahun itu.
Secara tradisinya, presiden AS sering menukar potret pendahulu mereka, sambil mengekalkan gambar pemegang jawatan terkini di dewan pintu masuk utama.
“Beberapa karya seni baharu di Rumah Putih,” menurut hantaran di X, bersama video yang menunjukkan orang ramai berjalan melepasi gambar baharu Trump di tempat dahulunya memaparkan potret Obama, berhampiran tangga utama.
Lukisan baharu itu memaparkan detik ikonik ketika Trump yang berlumuran darah dan menjerit ‘fight’ selepas seorang lelaki bersenjata menembaknya di telinga dalam kejadian di Butler, Pennsylvania pada Julai 2024.
Seorang pegawai Rumah Putih berkata, pihaknya belum mempunyai maklumat mengenai pelukis yang menghasilkan karya tersebut.
Lukisan itu menyerupai sebuah gambar yang dirakam oleh agensi berita Associated Press (AP) ketika detik sama.
Beberapa pegawai Rumah Putih kemudian memuat naik gambar baharu Trump, sambil turut menunjukkan potret Obama yang kini dipindahkan berhampiran.
“Potret Obama hanya dipindahkan beberapa kaki sahaja,” kata Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Steven Cheung di X.
Potret Obama didedahkan pada tahun 2022 oleh presiden ketika itu, Joe Biden, dan memaparkan presiden ke-44 itu memakai sut hitam dan tali leher kelabu dengan latar belakang putih.
Namun, sambutan besar-besaran Rumah Putih terhadap pertukaran itu mencerminkan perseteruan lama antara Trump dengan Obama, yang menjawat jawatan presiden dari tahun 2009 hingga 2017.


































