Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Sesetengah pemimpin pembangkang seolah-olah mengambil alih tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila menggesa agar tangkapan dan pendakwaan segera dilakukan terhadap sembilan ADUN yang terlibat, sedangkan proses siasatan masih berjalan dan tertakluk kepada undang-undang.
Bekas Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Aksyah Haji Nasrah berkata, gesaan dan kenyataan mereka menggambarkan kejahilan terhadap proses undang-undang.
“Tiada keperluan untuk membuat tangkapan tergesa-gesa selagi siasatan belum selesai,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengkritik tindakan ADUN Elopura, Calvin Chong yang mendakwa Ketua Menteri berpura-pura tidak tahu mengenai video tular yang menjadi subjek siasatan. Aksyah menyifatkan kenyataan tersebut sebagai provokatif dan bertujuan memaksa Ketua Menteri tampil bersuara.
Selain itu, Aksyah menyifatkan kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah yang mengatakan ADUN-ADUN parti itu akan “menggegarkan” sidang DUN berkaitan isu lesen perlombongan mineral sebagai gimik politik semata-mata yang bertujuan mencetus persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri.
“Ini sekadar mainan persepsi. Ketua Menteri pun telah menegaskan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan dan Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri memberi jaminan bahawa hasil siasatan akan diperoleh dalam masa terdekat,” tambahnya.
Aksyah turut mempersoalkan motif pembocoran video oleh individu dikenali sebagai Albert Tei kepada portal berita, yang menurutnya, tidak mengikut prosedur laporan rasmi SPRM. Beliau khuatir jika hasil siasatan tidak memihak kepada pembangkang, naratif “SPRM sudah kautim” akan mula dimainkan.
“Saya percaya rakyat juga mampu menilai sendiri rasional di sebalik tindakan ini. Jangan rosakkan imej SPRM hanya kerana ketidakpuasan hati terhadap hasil siasatan yang belum pun diumumkan,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak agar merujuk kepada Akta SPRM 2009 sebelum membuat sebarang kenyataan, bagi mengelakkan kekeliruan awam dan penyebaran maklumat tidak tepat mengenai maksud sebenar rasuah serta prosedur siasatan.
“Saya yakin Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor serta ADUN yang dituduh tidak bersalah. Kes ini terlalu banyak kecacatan untuk mewujudkan prima facie,” katanya lagi.
Aksyah mengingatkan pembangkang agar tidak terus memainkan politik persepsi yang hanya akan merosakkan minda rakyat dan mencemarkan institusi keadilan negara.


































