FLORIDA: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menawarkan ganjaran sebanyak 2.3 juta pound (RM13.3 juta) kepada sesiapa yang mampu membersihkan najis di Bulan.
Menurut Utusan Malaysia, cabaran yang dinamakan LunaRecycle Challenge itu bertujuan untuk mencari penyelesaian inovatif dalam pengurusan sisa seperti najis, air kencing dan muntah angkasawan semasa misi jangka panjang serta ketika berada di permukaan bulan.
Peraduan itu bertujuan untuk mencari kaedah pelupusan 96 beg sisa yang ditinggalkan oleh angkasawan Apollo, di samping menangani isu pengurusan sisa bagi penempatan manusia di Bulan pada masa akan datang.
Salah satu gambar pertama yang diambil di Bulan oleh Neil Armstrong pada 1969 menunjukkan sebuah beg sampah yang dibuang, dipercayai mengandungi sisa manusia termasuk najis.
NASA kini sedang menilai cadangan yang dikemukakan bagi LunaRecycle Challenge selepas tarikh tutup fasa pertama pada 3 Mac lalu.
“Ketika kami bersiap sedia untuk misi angkasa manusia pada masa hadapan, keperluan untuk mempertimbangkan bagaimana pelbagai aliran sisa – termasuk sisa pepejal – dapat diminimumkan.
“Selain itu, bagaimana sisa itu boleh disimpan, diproses dan dikitar semula dalam persekitaran angkasa supaya sedikit atau tiada langsung sisa perlu dibawa pulang ke Bumi,” kata NASA.
NASA berkata, butiran mengenai fasa seterusnya peraduan, termasuk garis masa untuk mengumumkan pemenang, akan dikongsi di laman web rasmi cabaran tersebut apabila kemas kini tersedia.


































