WASHINGTON: Enggan menerima keputusan tegas China mahu mengekalkan tarif 34 peratus terhadap produk Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, Presiden, Donald Trump kini mengancam menaikkan lagi cukai barangan dari Beijing, sekali gus meningkatkan ketegangan perang perdagangan yang sudah menghapuskan trilion dolar daripada pasaran global.
Menurut Utusan Malaysia, Trump memberi amaran mengenakan duti tambahan sebanyak 50 peratus terhadap import dari China bermula Rabu sekiranya ekonomi kedua terbesar dunia itu tidak menarik balik tarif yang dikenakan terhadap produk AS.
Tarif dari China itu adalah tindak balas kepada duti timbal balik yang diumumkan oleh Trump.
“Segala rundingan dengan China berkenaan permintaan mereka untuk bertemu dengan kami akan dihentikan!” kata Trump menerusi media sosial.
Pengumuman itu menambah kegelisahan pasaran kewangan global yang menjunam sejak pengumuman tarif oleh Trump dengan kilang pembuatan AS sendiri kebanyakannya terletak di China termasuk peranti iPhone.
PEMBULI EKONOMI
Tarif balas dari China merupakan reaksi paling tegas setakat ini terhadap langkah Trump yang disifatkan sebagai ‘pembulian ekonomi’.
Selepas pasaran saham di tanah besar China dan Hong Kong menjunam pada Isnin, dana kekayaan negara digunakan bagi menstabilkan keadaan pasaran.
Saham di Taiwan pula menjunam hampir 10 peratus, kejatuhan harian terbesar dalam rekod.
Saham AS sempat pulih seketika selepas laporan mengatakan Trump sedang mempertimbangkan penangguhan tarif selama 90 hari, namun kembali menjunam apabila Rumah Putih menolak laporan itu sebagai berita palsu.
Saham di Asia dan Eropah turut merosot apabila para pelabur bimbang tarif yang disamakan dengan ‘ubat’ oleh Trump membawa kenaikan harga, permintaan yang lemah dan mungkin mencetuskan kemelesetan ekonomi global.
Bank pelaburan Goldman Sachs telah meningkatkan kebarangkalian berlakunya kemelesetan di AS kepada 45 peratus.
Kesatuan Eropah (EU) memaklumkan mereka akan mula mengenakan tarif balas ke atas beberapa barangan dari AS minggu hadapan, walaupun pegawainya menyatakan kesediaan mereka untuk berunding bagi mencapai perjanjian ‘kosong-kosong’ bersama pentadbiran Trump.
“Cepat atau lambat, kita akan duduk di meja rundingan dengan AS dan mencapai kompromi yang saling diterima,” kata Pesuruhjaya Perdagangan EU, Maros Sefcovic dalam satu sidang media.
Ketua-ketua korporat Wall Street turut memberi amaran mengenai kesan negatif tarif AS sementara Pengurus Dana, Bill Ackman pula menyifatkan ia boleh mencetuskan ‘ekonomi nuklear musim sejuk’.
Kini para pelabur menjangkakan risiko kemelesetan yang semakin meningkat akan memaksa Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menurunkan kadar faedah seawal bulan hadapan.
Trump sekali lagi menggesa Fed agar menurunkan kadar, namun Pengerusi Fed, Jerome Powell masih belum menunjukkan sebarang desakan untuk bertindak segera.
Ketua ahli ekonomi di Institut Milken, William Lee berkata, kebimbangan utama pasaran adalah sekiranya Trump tidak mampu melaksanakan keseluruhan pakej dasar seperti pengurangan cukai, peraturan serta kerajaan yang lebih kecil disebabkan penggunaan modal politik yang besar dalam isu tarif.
Menggunakan analogi perubatan Trump, Lee malah menyamakan tarif beliau dengan ‘racun tikus’ atau ubat Coumadin yang turut digunakan merawat pembekuan darah dalam tubuh manusia.
“Jika berlebihan, racun tikus boleh membunuh pesakit. Tetapi jika digunakan dengan betul oleh pakar, ia boleh membantu merawatnya. Begitulah juga tarif,” jelas Lee.
Bagaimanapun, beliau berkata, Trump terlalu bergantung kepada tarif untuk menangani isu-isu lain seperti reformasi imigresen dan kawalan aliran masuk fentanyl secara haram ke AS.
Berkenaan kemungkinan tarif menyebabkan kenaikan harga import, Lee berkata, persoalan utama ialah sama ada harga yang lebih tinggi itu akan kekal.
Menurutnya, permintaan menentukan harga keseimbangan kerana rakyat AS kini tidak mempunyai pakej rangsangan seperti yang diberikan semasa pentadbiran bekas Presiden, Joe Biden ketika pandemik Covid-19.
TERIMA KUNJUNGAN NETANYAHU
Sementara tu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk menghapuskan lebihan dagangan Israel dengan AS, satu langkah yang dijangka diperhatikan dengan teliti oleh pemimpin dunia ketika dasar tarif Trump terus menggoncang pasaran global.
“Kami bercadang melakukannya dengan segera. Kami percaya ini adalah tindakan yang tepat, dan kami juga akan menghapuskan halangan perdagangan,” kata Netanyahu ketika duduk bersebelahan Trump di Pejabat Oval, Rumah Putih.
Netanyahu merupakan pemimpin asing pertama yang bertemu dengan Trump di Rumah Putih sejak Presiden AS itu mengumumkan dasar tarif menyeluruh minggu lalu.
AS, sekutu paling rapat Israel dan rakan dagang tunggal terbesar negara itu, mencatatkan defisit dagangan barangan sebanyak AS$7.4 bilion (RM33.17 billion) dengan Israel.
Di bawah dasar baharu Trump, barangan Israel kini dikenakan tarif sebanyak 17 peratus di pasaran AS.
Israel sebelum ini telah mengambil langkah membatalkan semua tarif yang masih dikenakan ke atas import dari AS pada Selasa lalu.
Kedua-dua negara itu telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas sejak 40 tahun lalu dan kini sekitar 98 peratus barangan dari AS bebas cukai.
Seorang pegawai dari Kementerian Kewangan Israel berkata, pengumuman tarif terbaharu oleh Trump berpotensi menjejaskan eksport Israel dalam sektor mesin dan peralatan perubatan.


































