Plakad tertulis ‘Kami tidak ok’ yang dipegang seorang daripada penunjuk perasaan semasa protes besar-besaran membantah dasar Donald Trump di Los Angeles, Amerika Syarikat kelmarin.
WASHINGTON: Lebih 50 negara dilaporkan menghubungi Rumah Putih untuk memulakan rundingan perdagangan selepas tarif baharu yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump minggu lalu menggegarkan pasaran saham global.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu didedahkan pegawai tertinggi kerajaan selepas Trump mempertahankan langkah tersebut yang menyebabkan hampir AS$6 trilion (RM26.79 trilion) nilai saham AS terhapus minggu lalu, sambil meremehkan kesan ekonomi yang mungkin berlaku.
Bercakap kepada wartawan di atas pesawat Air Force One, Trump menggambarkan tarif itu sebagai ‘ubat’ untuk menyusun semula kedudukan AS dalam sistem perdagangan global, mendakwa pekerjaan dan pelaburan akan kembali ke Washington hingga menjadikan negara itu sangat kaya seperti tidak pernah berlaku sebelum ini.
Hanya beberapa jam selepas kenyataan itu, pasaran saham di Asia menjunam pada awal pagi Isnin, dengan indeks Nikkei 225 di Jepun merosot sebanyak 6.3 peratus, manakala Hang Seng di Hong Kong susut 9.8 peratus.
Trump mengejutkan ekonomi global selepas mengumumkan tarif meluas ke atas import AS, mencetuskan tindakan balas daripada China dan kebimbangan terhadap perang perdagangan global serta kemelesetan ekonomi.
RUNDINGAN TARIF
Ejen kastam AS mula mengutip tarif unilateral Trump sebanyak 10 peratus terhadap semua import dari pelbagai negara pada Sabtu dan kadar tarif ‘timbal balik’ yang lebih tinggi antara 11 hingga 50 peratus akan mula dikuatkuasakan pada hari Rabu jam 12.01 pagi (waktu tempatan).
Presiden Taiwan, Lai Ching-te menawarkan kadar sifar tarif sebagai asas rundingan dengan AS, berjanji untuk menghapuskan halangan perdagangan dan memaklumkan syarikat Taipei akan meningkatkan pelaburan mereka di AS.
Seorang pegawai kerajaan India memberitahu Reuters negara itu tidak bercadang untuk bertindak balas terhadap tarif 26 peratus dan menyatakan rundingan dengan AS sedang berlangsung bagi mencapai perjanjian.
Di Itali, Perdana Menteri Giorgia Meloni, yang merupakan sekutu Trump, berjanji untuk melindungi perniagaan yang terkesan akibat tarif 20 peratus ke atas barangan dari Kesatuan Eropah (EU).
BUKAN STRATEGI JATUHKAN PASARAN SAHAM
Penasihat Ekonomi Rumah Putih, Kevin Hassett, menafikan tarif itu adalah sebahagian daripada strategi Trump untuk merosakkan pasaran kewangan bagi menekan Rizab Persekutuan AS supaya menurunkan kadar faedah.
Beliau berkata tiada ‘paksaan politik’ terhadap bank pusat itu.
Dalam satu hantaran di Truth Social pada Jumaat, Trump berkongsi video yang mencadangkan tarif itu bertujuan menggoncang pasaran saham bagi memaksa penurunan kadar faedah.
Hantaran tersebut mencetuskan perdebatan global sama ada apa yang diumumkannya adalah sebahagian daripada rejim baharu yang kekal atau sekadar taktik untuk membawa kepada pengurangan tarif melalui konsesi dari negara lain.
Proses penentuan tarif turut mendapat kritikan minggu lalu selepas ia dikenakan ke atas pulau-pulau terpencil tidak berpenghuni di Antartika yang hanya didiami penguin dan haiwan liar lain.
Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick berkata, pendekatan menyeluruh diperlukan supaya negara kecil tidak boleh dijadikan saluran oleh negara besar untuk mengelak tarif.
“Secara asasnya Trump berkata, beliau tak boleh membiarkan mana-mana tempat di dunia menjadi laluan bagi China atau negara lain untuk menghantar barangan mereka,” katanya.
PUSINGAN U TAK MAMPU HALANG KEMELESETAN
JPMorgan Chase memberi amaran ekonomi AS kini sedang menuju ke arah kemelesetan dan pengunduran segera terhadap tarif baharu Trump secara menyeluruh sekali pun, tidak cukup untuk mengelakkannya.
Ahli ekonomi JPMorgan kini menganggarkan tarif tersebut akan menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan AS menurun sebanyak 0.3 peratus, turun daripada anggaran pertumbuhan 1.3 peratus sebelum ini.
Kadar pengangguran juga dijangka meningkat kepada 5.3 peratus berbanding 4.2 peratus sekarang.
Ketua Pakar Ekonomi JPMorgan, Bruce Kasman mengumumkan unjuran suram itu, menaikkan kebarangkalian kemelesetan kepada 60 peratus berbanding 40 peratus hanya beberapa hari sebelumnya.
“Kami menekankan bahawa jika dasar-dasar ini diteruskan, ia berkemungkinan akan mendorong ekonomi AS dan mungkin ekonomi global ke dalam kemelesetan tahun ini.
“Tetapi adakah masih ada peluang untuk memperbaiki keadaan seperti ‘Humpty Dumpty’ yang jatuh dari dinding?
“Sukar untuk saya bayangkan senario di mana langkah ini ditarik balik dan dalam masa dua minggu kita berasa yakin untuk membatalkan unjuran kemelesetan ini,” soal Kasman dalam podcast mingguan ekonomi JPMorgan, The Weekender.
Dalam satu nota penyelidikan dalaman bertajuk There will be blood, Kasman dan pasukannya menyamakan pakej tarif ini dengan kenaikan cukai terbesar sejak surcaj cukai oleh bekas Presiden AS, Lyndon B. Johnson pada tahun 1968.
“Kesan daripada kenaikan cukai ini mungkin menjadi lebih buruk melalui tindakan balas, kejatuhan sentimen perniagaan di AS serta gangguan dalam rantaian bekalan global,” tulis mereka.
Menurut nota itu lagi, walaupun pelaksanaan segera mungkin membuka ruang rundingan jangka pendek, kesan terhadap keyakinan perniagaan dan pola perdagangan global dijangka sukar dipulihkan.
“Terdapat aspek psikologi dalam tarif ini yang menjadikan dasar perniagaan dan perdagangan lebih sukar diramalkan. Syarikat-syarikat,yang tidak pasti tentang apa yang akan berlaku seterusnya, sudah mula mengurangkan pelan pelaburan mereka, dengan perbelanjaan modal ditangguhkan atau dibatalkan,” katanya.
Menggunakan model daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pasukan itu memberi amaran bahawa perang perdagangan yang berterusan boleh mengurangkan KDNK AS sebanyak dua mata peratusan dan menjejaskan keluaran global sebanyak satu mata peratusan.


































