Kajian mendapati terdapat lapan struktur berbentuk silinder yang menjunam lebih 640 meter di bawah piramid, selain beberapa struktur lain terletak 1,219 meter lebih dalam.- Gambar Hiasan
KAHERAH: Sekumpulan penyelidik dari Itali dan Scotland mendakwa menemukan sebuah ‘bandar besar’ di bawah Kompleks Piramid Giza, yang dijangka boleh mengubah sejarah Mesir Purba jika terbukti benar.
Menurut Utusan Malaysia, kajian, menggunakan teknologi denyutan radar untuk menghasilkan imej resolusi tinggi jauh ke dalam tanah, mendapati terdapat lapan struktur berbentuk silinder yang menjunam lebih 640 meter di bawah piramid, selain beberapa lagi struktur lain yang terletak 1,219 meter lebih dalam.
Kajian yang diketuai oleh Corrado Malanga dari Universiti Pisa, Itali dan Filippo Biondi dari Universiti Strathclyde, Scotland, hanya dibentangkan dalam satu taklimat di Itali dan belum diterbitkan dalam mana-mana jurnal saintifik untuk semakan pakar bebas.
Malanga sebelum ini dikenali sebagai penyelidik UFO dan sering muncul dalam program berkaitan makhluk asing di YouTube.
Sementara itu, Biondi merupakan pakar dalam teknologi radar dan sebelum ini pernah menerbitkan kajian berkaitan bilik tersembunyi di dalam Piramid Khafre.
Teknologi yang digunakan dalam kajian itu turut mendapat bantuan daripada satelit, membolehkan pasukan penyelidik menggabungkan data radar satelit dengan getaran kecil daripada pergerakan seismik semula jadi untuk membentuk imej tiga dimensi di bawah permukaan tanah.
Penemuan ini mencetuskan sensasi di media sosial, dengan pengguna X membanjiri platform tersebut dengan pelbagai teori dan spekulasi mengenai dakwaan kota bawah tanah itu.
Pasukan penyelidik berkenaan dijangka meneruskan kajian mereka sepanjang tahun 2025.


































