TOKYO: Robot akan mula mengalihkan beg pasir yang digunakan untuk menyerap air tercemar radioaktif akibat bencana nuklear Fukushima 2011 seawal minggu hadapan, kata jurucakap syarikat pengendali loji berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) memaklumkan, beg-beg pasir itu dibiarkan di tingkat bawah tanah dua bangunan sejak tragedi nuklear terburuk dunia selepas Chernobyl.
Jurucakap TEPCO, Tatsuya Matoba memaklumkan, tahap radiasi di permukaan beg pasir tersebut mencecah 4.4 sievert sejam, yang boleh membawa maut jika manusia mendekatinya.
Laporan media Jepun menyatakan terdapat 2,850 beg yang perlu dikumpulkan, namun angka tersebut belum disahkan TEPCO.
Bagaimanapun, syarikat tersebut menyatakan berat keseluruhan beg berkenaan ialah 41.5 tan.
Dua robot khas telah ditempatkan di tingkat bawah tanah pada Rabu lalu bagi mengutip beg-beg tersebut, termasuk sebuah robot dengan cakar bergerak.
Proses pemindahan akan dilakukan dengan cermat dan dijangka selesai menjelang akhir tahun fiskal 2027.
Selepas dikumpulkan, beg-beg pasir itu akan dimasukkan ke dalam bekas khas untuk bahan radioaktif sebelum ditempatkan di tapak penyimpanan sementara di luar bangunan.
Tiga daripada enam reaktor di loji Fukushima mengalami pencairan teras 14 tahun lalu selepas dilanda tsunami besar akibat gempa bumi bermagnitud 9.0 yang mengorbankan 18,500 nyawa.
Tiada kematian direkodkan secara langsung akibat insiden nuklear tersebut, namun kejadian itu memaksa pemindahan penduduk dan menjadikan sebahagian kawasan sekitar tidak lagi boleh didiami.
Selain beg pasir yang tercemar, loji Fukushima masih menyimpan sekitar 880 tan serpihan radioaktif, yang disifatkan sebagai cabaran paling besar dalam projek penyahaktifan loji berkenaan kerana tahap radiasi yang amat tinggi.
Percubaan pertama bagi mengeluarkan serpihan nuklear itu telah dimulakan tahun lalu.


































