Hari Wanita Antarabangsa disambut pada 8 Mac setiap tahun sebagai penghormatan kepada pencapaian wanita dalam pelbagai bidang dan perjuangan berterusan untuk kesaksamaan jantina.
Bukan sekadar hari peringatan, ia adalah simbol kekuatan, ketahanan dan keberanian wanita di seluruh dunia dalam berjuang menuntut hak, peluang serta pengiktirafan yang adil.
Menurut Utusan Malaysia, bertepatan dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025, The Independent menampilkan 10 wanita paling berpengaruh di United Kingdom (UK), dengan menyenaraikan individu luar biasa meliputi pemimpin politik, atlet bertaraf dunia, ikon seni dan budaya serta aktivis.
1. GISELE PELICOT
Mendahului senarai tahun ini ialah Gisele Pelicot, wanita luar biasa yang menjadi simbol perjuangan menentang keganasan seksual. Beliau berani melawan arus apabila membenarkan perbicaraan kes rogol beramai-ramai melibatkan bekas suaminya, Dominique Pelicot dan 50 lelaki lain diadakan secara terbuka.
Gisele, 72, membuat keputusan berani yang bukan sahaja mengubah hidupnya, tetapi mencetuskan gelombang perubahan di seluruh dunia. Beliau sebelum ini menegaskan, mahu mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap mangsa rogol dan meletakkan ‘beban malu’ kepada pelaku jenayah seksual.
Peguamnya, Stephane Babonneau berkata, wanita tersebut sangat menghargai pengiktirafan diberikan dan mendedikasikannya kepada semua mangsa keganasan seksual, yang dianggap sebagai ‘wira sebenar’ dalam perjuangan itu.
2. KATE, PUTERI WALES
Bagaimana Puteri Wales menangani rawatannya untuk kanser sepanjang tahun lalu menunjukkan betapa penting peranan yang dimainkan beliau dalam keluarga diraja.
Pada mulanya, beliau menjauhkan diri daripada perhatian umum untuk memberi tumpuan kepada pemulihan, namun kepulangannya ke tugas rasmi mengukuhkan kedudukan isteri Putera William itu di hati rakyat.
Jun lalu, Kate membuat kemunculan sulung dalam acara Trooping the Colour dan sejak itu dilihat lebih kerap terlibat dalam kerja amal.
Tiga bulan kemudian, beliau berkongsi video peribadi yang mengumumkan dirinya kini bebas daripada kanser.
3. RACHEL REEVES
Rachel Reeves mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Canselor UK selepas kemenangan besar Parti Buruh dalam pilihan raya umum tahun lalu.
Kedudukannya dalam senarai individu paling berpengaruh tahun ini melonjak ke kedudukan ketiga berbanding sebelum ini tersenarai dalam kelompok 10 teratas.
Memegang jawatan pada saat krisis ekonomi dan geopolitik, Reeves berdepan kritikan terhadap beberapa keputusan awal pentadbirannya, termasuk pemotongan elaun bahan api musim sejuk.
Selain itu, Reeves berjanji untuk menggunakan kedudukannya bagi meningkatkan taraf hidup wanita di seluruh Britain, merangkumi jurang gaji antara jantina dan hak pekerja.
4. KEMI BADENOCH
Seorang lagi ahli politik wanita Britain yang menjadi pemimpin kulit hitam pertama dalam parti politik utama UK. Sebagai ketua pembangkang, Badenoch berdepan cabaran besar untuk membina semula partinya selepas kekalahan dalam pilihan raya 2024, dengan hanya 121 ahli Parlimen.
Pada usia 45 tahun, beliau berusaha memenangi kembali kepercayaan rakyat, selain menghadapi ancaman daripada Reform UK pimpinan Nigel Farage.
5. CLAUDIA WINKLEMAN
Pengacara berbakat ini sentiasa membawa keceriaan kepada seluruh negara setiap Januari dan kembali untuk musim ketiga siri sensasi BBC, The Traitors.
Pada usia 53 tahun, Winkleman terus mengukuhkan kedudukannya sebagai ratu televisyen.
Gaya penyampaiannya yang penuh kehangatan, diselitikan dengan unsur sindiran tajam, menjadikan rancangan tersebut lebih memukau.
Melalui pengaruh Winkleman, ramai wanita di seluruh UK kini terinspirasi dengan gaya fesyen Highland goth yang menjadi trend.
7. CHARLIE XCX
Musim panas 2024 menyaksikan dominasi penyanyi Charli XCX dengan Brat, album berani yang menggabungkan elemen tarik dan elektronik.
Karya neon-hijau itu bukan sekadar himpunan lagu rancak, tetapi juga luahan emosi tentang ketidakyakinan, cemburu, persaingan dan cabaran wanita moden.
Pengaruhnya melangkaui dunia muzik, menarik perhatian jenama ternama seperti Snapchat dan Ritz Crackers, malah mendapat perhatian calon presiden Demokrat, Kamala Harris.
Kejayaan beliau semakin menyerlah apabila menguasai Anugerah Brit tahun ini dengan memenangi empat daripada lima kategori utama, termasuk Album dan Artis Terbaik.
8. CYNTHIA ERIVO
Sejak kecil, ibu Cynthia sudah meramalkan anaknya akan menjadi bintang terkenal.
Kini, beliau berada di puncak karier yang menjangkau 15 tahun, dengan kejayaan terbaharu sebagai penyihir hijau Elphaba dalam filem muzikal arahan Jon M Chu, Wicked.
Kerja keras Cynthia – daripada pentas West End ke Broadway, sebelum membuat debut filem pada 2018 – kini membuahkan hasil.
Beliau antara bintang yang pernah dicalonkan dalam anugerah utama hiburan, seperti Emmy, Grammy, Oscar dan Tony.
9. TRACEY EMIN
Empat tahun selepas didiagnosis kanser dengan peluang hidup hanya 33 peratus, Tracey Emin terus menggemparkan dunia seni dengan karya emosinya.
Pada usia 61 tahun, artis terkenal My Bed itu mempersembahkan beberapa karya paling berpengaruh dalam I Followed You to the End di White Cube, London serta Lover’s Grave di New York.
10. JULIA DONALDSON
Penulis terkenal dengan karya The Gruffalo, Room on the Broom dan Stick Man, sudah menikmati kejayaan selama 25 tahun dalam dunia sastera kanak-kanak.
Januari lalu, beliau mencapai satu lagi kejayaan luar biasa apabila mengatasi pengarang terkenal, JK Rowling, sebagai penulis dengan jualan tertinggi di UK.
Beliau berjaya menjual lebih dua juta buku berbanding Rowling dalam tempoh 12 bulan terakhir.


































