WISCONSIN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Wisconsin, Amerika Syarikat (AS), bertindak menghubungi talian kecemasan 911 untuk melaporkan ibunya sendiri selepas wanita itu didakwa mencuri aiskrim miliknya.
Menurut Utusan Malaysia, polis tempatan memaklumkan, pihak polis dikerahkan ke rumah keluarga itu selepas menerima panggilan kecemasan yang terputus pada Selasa lalu.
“Ibu saya berkelakuan tidak baik,” kata kanak-kanak itu kepada petugas 911, menurut rakaman yang diperoleh rakan media CNN, WTMJ.
“Baiklah, apa yang sedang berlaku?” tanya petugas itu.
“Datang dan tangkap ibu saya,” jawab kanak-kanak tersebut tanpa ragu-ragu.
Tidak lama kemudian, si ibu mengambil alih telefon di sebalik bantahan kuat anaknya dan menjelaskan kepada petugas kecemasan serta mengaku beliau memakan aiskrim milik anaknya sehingga beliau menghubungi talian kecemasan.
Polis menghantar anggota ke rumah berkenaan bagi memastikan kejadian itu bukan sekadar alasan untuk menutup sesuatu yang lebih serius.
Setibanya di lokasi, kanak-kanak itu sekali lagi menegaskan ibunya memakan aiskrim miliknya dan berkeras supaya wanita itu dimasukkan ke dalam penjara, menurut kenyataan polis.
Namun, akhirnya kanak-kanak itu bersetuju untuk tidak meneruskan ‘tindakan undang-undang’ selepas memaklumkan dia tidak mahu ibunya dipenjara dan hanya mahukan aiskrim sebagai ganti.
Dua hari kemudian, pihak polis kembali ke rumah itu untuk mengejutkan si kecil dengan dua skop aiskrim yang dihiasi taburan biru sebagai tanda ingatan dan mahu dia ‘berdamai’ dengan ibunya.


































