WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyampaikan ucapan pertamanya kepada Kongres selepas memegang jawatan, menyusuli hari kedua kegawatan pasaran berikutan tarif baharu menyeluruh terhadap Mexico, Kanada serta China.
Menurut Utusan Malaysia, ucapan itu mengundang cemuhan beberapa Demokrat yang keluar dewan sebagai tanda protes.
Dalam ucapannya, Trump memberitahu Kongres, ‘Amerika telah kembali’ selepas beliau membentuk semula dasar luar AS, mencetuskan perang perdagangan dan memecat puluhan ribu pekerja kerajaan dalam tempoh enam minggu sejak kembali berkuasa.
Amanat dalam tempoh 100 minit itu merupakan ucapan presiden terpanjang kepada Kongres dalam sejarah AS moden, menurut The American Presidency Project.
Pemimpin dunia memerhati ucapan Trump dengan teliti, sehari selepas beliau menghentikan semua bantuan ketenteraan kepada Ukraine dalam tindakan yang mengubah dasar AS.
Sekatan bantuan terhadap Ukraine mengancam usaha Kyiv untuk bertahan menentang Russia dan membingungkan para pemimpin Eropah yang bimbang Trump sedang menggerakkan AS terlalu jauh ke arah Moscow.
Trump hanya menumpukan beberapa minit ucapannya kepada dasar luar negara, memberi isyarat kesediaan untuk meneruskan perjanjian mineral dengan Ukraine yang ditangguhkan selepas hasil pertemuan mengejutkan di Rumah Putih minggu lalu.
“Pada masa yang sama, kami telah mengadakan perbincangan serius dengan Russia dan telah menerima isyarat kuat bahawa mereka bersedia untuk keamanan. Bukankah itu indah?” kata Trump.
Beliau turut mengulangi janjinya walaupun tanpa butiran lanjut untuk membawa keamanan ke Asia Barat dan memperluaskan Perjanjian Abraham, yang dimeterai semasa penggal pertamanya bagi menjalin hubungan antara Israel dan beberapa negara-negara Arab.
Trump berikrar untuk mengimbangi bajet persekutuan, walaupun beliau menggesa Kongres untuk menggubal agenda pemotongan cukai menyeluruh yang menurut penganalisis, boleh menambah AS$5 trillion (RM22.17 trillion) kepada beban hutang kerajaan persekutuan yang kini mencecah AS$36 trillion (RM159.67 trillion).
Kongres perlu menaikkan had hutang negara lewat tahun ini bagi mengelakkan kegagalan pembayaran yang boleh membawa bencana ekonomi.
“Kepada rakyat AS, Amerika telah kembali. Negara kita berada di ambang kebangkitan semula yang belum pernah disaksikan dunia sebelum ini, dan mungkin tidak akan berlaku lagi,” kata Trump, disambut dengan tepukan sambil berdiri daripada ahli Republikan.
Namun, ahli Demokrat menunjukkan protes mereka dengan mengangkat plakad bertulisan ‘Tiada Raja!’ dan ‘Ini BUKAN Normal’ dengan hampir separuh ahli Demokrat meninggalkan dewan sebelum ucapan berakhir.
Seorang ahli Kongres dari Texas, Al Green, diarahkan keluar selepas enggan duduk semula.
Green bangun dan mencelah ketika Trump berucap, menjerit ‘Anda tidak mempunyai mandat untuk memotong Medicaid’ sebelum diiringi keluar dewan.
“Saya melihat ahli Demokrat di hadapan saya dan saya sedar bahawa tiada apa yang saya boleh katakan untuk membuat mereka gembira, berdiri, tersenyum, atau bertepuk tangan,” kata Trump selepas Green diusir keluar.
Trump sempat memuji jutawan, Elon Musk dan Jabatan Kecekapan Kerajaan, yang telah mengurangkan lebih 100,000 pekerja kerajaan, memotong berbilion dolar daripada bantuan luar negara serta menutup beberapa agensi kerajaan.
Beliau juga memuji Musk kerana didakwa menemukan ratusan bilion dolar penipuan dan jutawan itu yang duduk di ruang galeri, menerima tepukan gemuruh daripada ahli Republikan.
Trump mengulangi niatnya untuk mengenakan tarif timbal balik pada 2 April ini, satu langkah yang dijangka mengganggu pasaran kewangan lebih jauh.
“Negara lain telah menggunakan tarif terhadap kita selama berdekad-dekad dan kini tiba masanya kita menggunakan tarif terhadap mereka,” katanya.
Namun, ramai ahli Republikan tetap duduk ketika kenyataan itu dibuat, menunjukkan perpecahan dalam parti berkenaan dasar tarif Trump.
Tarif 25 peratus ke atas Mexico dan Kanada, serta tambahan 10 peratus ke atas import dari China, telah memburukkan lagi kebimbangan pelabur terhadap ekonomi.
Indeks Nasdaq Composite kini turun lebih 9 peratus daripada rekod tertinggi yang dicapai pada 16 Disember.
Walaupun sering berbangga dengan kenaikan pasaran saham, Trump tidak menyebut kejatuhan pasaran minggu ini.
Sebaliknya, beliau menyalahkan bekas Presiden, Joe Biden atas kenaikan harga barangan keperluan, termasuk harga telur.
Trump menyeru Kongres meluluskan rancangan perbelanjaan AS$4.5 trilion (RM19.93 trilion), yang merangkumi pemotongan cukai, mengetatkan keselamatan sempadan dan penghantaran pulang besar-besaran pendatang tanpa izin.
Beliau menekankan bahawa dasar sempadannya telah berjaya, dengan jumlah tangkapan migran di sempadan AS-Mexico jatuh ke 8,300 pada Februari, jumlah terendah dalam sejarah.


































