Sebuah muzium ketawa yang baru dibuka di Zagreb, Croatia menawarkan pengalaman unik untuk menghapuskan segala ‘aura negatif’ dan rasa gundah yang dialami dalam kehidupan moden.
Menurut Utusan Malaysia, pengunjung yang datang ke HaHaHouse akan disambut dengan asap putih sebaik sahaja mereka melangkah masuk, seolah-olah menghembus keluar segala kebimbangan sebelum menjengah ke dalam ‘mesin basuh gergasi’.
Alat itu kemudian memusingkan pengunjung ala Willy Wonka, membawa mereka menuruni gelongsor berliku ke dalam kolam dipenuhi bola-bola putih kecil sebelum memulakan perjalanan menuju alam jenaka yang menghiburkan.
Penciptanya, Andrea Golubic berkata, beliau mendapat idea untuk membina muzium ini semasa pandemik, ketika ramai orang berasa tertekan, murung dan terasing.
“Saya sedar bahawa saya mempunyai satu misi iaitu menyembuhkan orang dengan ketawa.

“Idea ini datang terus dari hati. Pada hari itu juga saya menyenaraikan 78 pameran dan begitulah HaHaHouse bermula,” kata wanita ceria berusia 43 tahun itu.
Golubic berkata, pelawat seumpama menekan butang untuk ‘dinyahtoksin’ daripada nilai-nilai negatif sebaik sahaja memasuki muzium ini, yang mempunyai lapan zon interaktif.
Antara tarikan utama adalah koir ayam getah yang menyanyikan lagu-lagu hits seperti Dancing Queen oleh ABBA dengan bunyian lucu, sebuah bilik karaoke menggunakan suara yang diubahsuai serta Sumo Arena untuk gusti dalam kostum angin.
Muzium ini juga menampilkan sejarah humor dari zaman purba hingga era moden melalui teater, filem dan internet.
Gaya humor juga dijelaskan, termasuk permainan kata, slapstick, lawak tandas, humor gelap, dan satira dengan bantuan beberapa jenaka pilihan.
Salah satu jenaka yang dipamerkan adalah daripada pelawak terkenal Amerika Syarikat (AS), Joan Rivers.
“Saya telah menjalani begitu banyak pembedahan plastik, apabila saya mati mereka akan mendermakan tubuh saya kepada Tupperware,” jelasnya.
Menurut Golubic, HaHaHouse menarik pelawat daripada pelbagai peringkat umur, daripada kanak-kanak kecil hingga warga emas, dengan ramai orang dewasa melihatnya sebagai peluang untuk kembali berasa seperti kanak-kanak.
“Semua yang masih mempunyai jiwa keanak-anakan dan menerima ‘anak kecil dalam diri mereka’ akan merasa segar kembali,” katanya.
Pesara, Bruno Dadic memberitahu AFP, beliau sangat gembira dengan lawatannya.
“Tidak pernah cukup humor dalam hidup. Ketawa adalah ubat untuk jiwa,” katanya.
Hospital psikiatri di Zagreb turut menyuarakan minat untuk membawa pesakit dalam lawatan berkumpulan dan kerjasama sedang dijalin dengan sekolah serta rumah penjagaan warga emas.
“Muzium ini hebat,” kata Aleksandar Suka yang menyambut ulang tahun kelimanya di sana.
Ditemani ibunya, budak lelaki itu berkata, dia paling menyukai pengalaman berbaring di atas katil paku yang menggeletek tubuhnya.
Penyanyi, Zorica Bucic, dari bandar pesisir Split berkata, muzium ini sangat sesuai dengan zaman sekarang di mana penduduk dunia sering dibanjiri berita buruk.
“Masuk ke sini terasa seperti kembali ke zaman kanak-kanak, melepaskan semua masalah. Jika kita boleh datang ke sini lebih kerap, kita tidak perlu bayar untuk jumpa ahli psikologi,” katanya.
Malah, menurut Ahli Psikologi, Petar Kraljevic, ketawa adalah satu mekanisme pertahanan yang memberikan kekuatan untuk menghadapi masalah.
“Saya sangat menyukai idea ini. Jika kita boleh menetapkan ‘preskripsi’ tiga jam ketawa setiap hari, pasti hasilnya sangat positif,” katanya.


































