BANGKOK: Harga bilik hotel di Thailand akan meningkat sebanyak 15 peratus berbanding 2023, berdasarkan laporan SiteMinder, sebuah platform e-dagang tempahan dan pihak ketiga.
Menurut Utusan Malaysia, pertumbuhan itu menjadikan Thailand satu-satunya negara yang mencatatkan pertumbuhan dua angka dalam sektor perhotelan.
Laporan Trend Tempahan Hotel daripada SiteMinder, yang menganalisis lebih 125 juta tempahan, menunjukkan kadar purata harian (ADR) di Thailand meningkat kepada 5,377 baht (RM708) berbanding 4,648 baht (RM612) pada tahun 2023.
Harga bilik mencapai kemuncak pada Disember, mencatatkan 6,460 baht (RM851) per bilik, satu kenaikan sebanyak 11 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
SiteMinder berkata, pertumbuhan itu disebabkan oleh permintaan pelancongan antarabangsa yang semakin meningkat, di mana Thailand memberikan respons positif terhadap permintaan tersebut.
Hotel di Thailand mendahului Asia dalam jumlah kedatangan pelancong asing, dengan 77 peratus daripada daftar masuk melibatkan tetamu antarabangsa, melebihi purata global yang hanya 48 peratus.
Hanya Austria yang mencatatkan peratusan daftar masuk asing yang lebih tinggi.
Laporan itu juga mendedahkan, pelancong yang menempah penginapan di Thailand semakin merancang perjalanan mereka lebih awal, dengan purata masa tempahan 27 hari, merupakan paling lama di Asia dan hampir menyamai tempoh tempahan 29 hari yang direkodkan pada 2019.
Thailand terus mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi pelancongan utama, dengan hartanah berada di kedudukan kelima di peringkat global untuk tempoh penginapan yang panjang.
Lebih 15 peratus tempahan adalah untuk penginapan tiga malam atau lebih, melebihi purata global 11 peratus, dan di belakang Portugal (21 peratus) serta Colombia, Mexico dan Sepanyol masing-masing 18 peratus.
Walaupun Disember kekal sebagai bulan paling sibuk, hotel di Thailand kini kurang bergantung kepadanya untuk kedatangan tahunan.
Jumlah pelawat meningkat pada bulan-bulan sejuk 2024 berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan pembahagian puncak kedatangan yang lebih seimbang.