Pengamal media bergambar kenangan di Petronas Chinese New Year Luncheon With Sabah Media 2025.
KOTA KINABALU: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) meneruskan komitmen mengiktiraf peranan media sebagai penyampai maklumat tepat kepada masyarakat.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumplan Petronas, Siti Azlina Abdul Latif berkata media bukan sekadar penyampai berita, tetapi juga rakan strategik bagi memastikan maklumat yang dikongsi relevan, jelas dan berimpak tinggi kepada pihak berkepentingan.
“Dalam dunia yang semakin pantas dan berasaskan maklumat, peranan media amat penting dalam membantu kami menyampaikan mesej kepada masyarakat, rakan perniagaan serta pihak berkepentingan secara lebih meluas.
“Tanpa anda semua, kisah PETRONAS mungkin tidak dapat disampaikan dengan jelas dan tepat,” katanya semasa Petronas Chinese New Year Luncheon With Sabah Media 2025 yang dihadiri 60 wartawan di Sabah, pada Khamis.
Siti Azlina turut menegaskan hubungan PETRONAS dengan media bukan sekadar kerjasama profesional, tetapi juga berasaskan kepercayaan, kefahaman, dan rasa hormat yang menjadi asas kepada laporan yang berkualiti serta berintegriti.
“Sebagai tanda penghargaan terhadap industri kewartawanan, PETRONAS terus menyokong dan mengiktiraf peranan media melalui sokongan penganjuran Anugerah Kinabalu Press di Sabah, Anugerah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS di peringkat kebangsaan, serta Anugerah Kewartawanan Kenyalang di Sarawak.
“Anugerah ini bukan sekadar penghormatan kepada individu berbakat dalam dunia kewartawanan, tetapi juga satu pengiktirafan terhadap peranan penting media dalam membentuk masyarakat yang lebih bermaklumat.
“Dengan meraikan kecemerlangan kewartawanan, kita turut menghargai kisah-kisah yang mendidik, memberi inspirasi, dan menghubungkan kita semua,” tambah beliau.
Hadir sama, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar dan Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.