Tedros Adhanom Ghebreyesus
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan kenaikan yuran keahlian sebanyak 20 peratus, bagi menampung sekurang-kurangnya separuh daripada bajet organisasi menjelang 2030.
Menurut Utusan Malaysia, ini selepas Amerika Syarikat (AS), selaku penderma terbesar badan kesihatan itu, sedang dalam proses untuk menarik diri daripada WHO.
WHO menamatkan mesyuarat Lembaga Eksekutif yang berlangsung selama lapan hari di Geneva, dengan membincangkan kesan keputusan Presiden AS, Donald Trump pada 20 Januari lalu, untuk Washington menarik diri selama setahun daripada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
“Kami kesal dengan pengumuman AS tentang niat mereka untuk menarik diri, dan menyedihkan juga melihat mereka kurang terlibat minggu ini.
“Saya rasa kita semua merasai ketiadaan mereka. Kami amat berharap mereka akan mempertimbangkan semula dan kami mengalu-alukan peluang untuk mengadakan dialog yang membina,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam ucapan penutupnya.
Walaupun AS masih anggota Lembaga Eksekutif, penyertaan negara itu dalam mesyuarat tersebut adalah terhad sepanjang lapan hari perbincangan berlangsung.
Lembaga Eksekutif WHO terdiri daripada 34 negara anggota melantik wakil masing-masing yang berkelayakan dalam bidang kesihatan.
Ia juga bertanggungjawab merangka agenda dan resolusi untuk dibentangkan dalam Perhimpunan Kesihatan Sedunia, Mei ini.
Peningkatan yuran keahlian dilihat sebagai langkah bagi WHO untuk mengurangkan pergantungan kepada beberapa penderma utama serta memastikan kewangan yang lebih stabil dan fleksibel, kata Tedros.
“Ini adalah isyarat yang sangat kuat terhadap sokongan anda, dan merupakan langkah besar untuk meletakkan WHO pada asas kewangan yang lebih kukuh dan mampan,” katanya.
Mesyuarat tersebut antara lainnya turut membincangkan isu penyakit tidak berjangkit, kesihatan mental, penyakit kulit, kesihatan alam sekitar, pencemaran udara, tenaga kerja kesihatan global, ubat-ubatan tiruan dan kecemasan kesihatan serta liputan kesihatan sejagat.
































