BYD Seal
PETALING JAYA: Persaingan sengit daripada jenama automotif China seperti Chery, Jaecoo dan BYD memberi tekanan ketara kepada Bermaz Auto Bhd. (BAuto), dengan penurunan ketara dalam pegangan pasaran Mazda di Malaysia sepanjang 2024.
Menurut Utusan Malaysia, CGS International memaklumkan, jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual (TIV) di Malaysia meningkat sebanyak dua peratus tahun ke tahun pada 2024.
“Namun, pegangan pasaran BAuto merosot daripada 2.4 peratus pada 2023 kepada 1.8 peratus tahun lalu, berikutan kejatuhan jualan Mazda sebanyak 24 peratus dalam tempoh itu.
“Kelemahan ini dikaitkan dengan peningkatan saingan daripada jenama China yang menawarkan harga lebih kompetitif dalam segmen SUV,” katanya dalam nota penyelidikan.
Model seperti Chery Omoda 5, Jaecoo J7 dan BYD Atto 3 yang dijual pada julat harga RM100,000 hingga RM160,000 berjaya menarik lebih ramai pembeli.
Sebagai perbandingan, model terlaris Mazda di Malaysia, CX-5, ditawarkan pada harga lebih tinggi iaitu antara RM145,000 hingga RM195,000, sekali gus memberi kelebihan kepada pesaing baharu.
Pada masa yang sama, jenama China semakin kukuh dengan pegangan pasaran mereka meningkat daripada hanya satu peratus pada 2023 kepada 3.5 peratus pada 2024, mengambil bahagian pasaran daripada jenama arus perdana seperti Mazda.
Mengakui cabaran itu, BAuto merancang untuk memperkenalkan lebih banyak model baharu bagi merancakkan jualan pada separuh kedua 2025.
“Syarikat itu baru-baru ini memperoleh hak pengedaran jenama Deepal di Malaysia dan akan melancarkan tiga model kenderaan elektrik (EV) daripada jenama itu menjelang tahun depan.
“Selain itu, model Xpeng G9 dijangka memasuki pasaran pada tahun ini, manakala Mazda Malaysia merancang untuk memperkenalkan CX-60 pada suku kedua 2025 dan CX-80 pada suku ketiga.
“Model Xpeng G6 yang mula dijual pada suku keempat 2024 juga menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan jualan kira-kira 120 unit sebulan,” katanya.
CGS International menjangkakan jualan BAuto akan terus mencabar pada tahun kewangan 2025, terutama pada suku ketiga akibat persaingan sengit.
“Namun, dengan pelancaran model baharu bermula suku keempat 2025, pendapatan syarikat dijangka pulih pada separuh pertama tahun kewangan 2026,” katanya.
Firma penyelidikan itu telah menurunkan unjuran pendapatan BAuto bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 sebanyak 10 hingga 26 peratus, mengambil kira saingan yang semakin meningkat dalam pasaran automotif Malaysia.
Bagaimanapun, ia mengekalkan saranan ‘Tambah’ ke atas saham BAuto dengan harga sasaran lebih rendah iaitu RM2.30, berbanding RM3.10 sebelum ini.
Jelas CGS International, sasaran itu berdasarkan unjuran pemulihan pendapatan jangka sederhana dan dividen yang kukuh sekitar 10 peratus bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027.
“Antara faktor utama yang boleh meningkatkan semula prestasi saham BAuto termasuk pemulihan jualan dan pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh pada tahun depan.
“Namun, risiko utama yang boleh menjejaskan syarikat termasuk penurunan kuasa beli pengguna dan peningkatan persaingan daripada jenama China di Malaysia,” katanya.






























