Keadaan kawasan kejiranan yang hangus dijilat api di Pacific Palisades, California.
LOS ANGELES: Proses pemulihan di kawasan kebakaran hutan di Los Angeles dijangka memakan masa sehingga 10 tahun berikutan cabaran besar yang dihadapi termasuk isu pasaran buruh dan bekalan pembinaan yang terhad.
Menurut Utusan Malaysia, Pakar Seni Bina dan Pemulihan Bencana di Universiti California, Mary Comerio berkata, sebelum kerja pembinaan perumahan baharu boleh dimulakan, hartanah lama mesti dibersihkan daripada serpihan kerana risiko sisa toksik.
Perkara sama turut disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pembina Rumah Kebangsaan, Jim Tobin.
“Ia akan menjadi proses pembinaan semula yang sangat sukar dan ia akan mengambil masa yang lama. Apabila berlaku kebakaran, kita bercakap tentang kerugian total yang besar.
“Walaupun masih ada asas atau cerobong asap, bahan-bahan itu hanya akan mendatangkan malapetaka selepas berlakunya kebakaran, justeru semuanya perlu dirobohkan, tidak seperti bencana banjir atau taufan,” kata Tobin
Di kawasan kejiranan Paradise, hanya 10 peratus rumah dan kira-kira 500 bangunan terselamat.
“Kami menjangkakan proses pemulihan akan berlangsung 10 tahun lagi sebelum kerja-kerja pembinaan semula sepenuhnya dimulakan,” kata Pengarah Pemulihan dan Pembangunan Ekonomi Bandar Paradise, Colette Curtis.
Keadaan boleh bergerak lebih pantas di kawasan kaya seperti Malibu dan Pacific Palisades jika pemilik rumah tidak perlu menunggu dana daripada syarikat insurans, atau jika mereka menerima bantuan persekutuan.
Pakar berkata, permit pembinaan untuk rumah baharu mungkin memerlukan sembilan hingga 12 bulan, dengan setiap kediaman dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
Entiti awam juga perlu bergerak untuk membersihkan dan membina semula jalan raya, kemudahan tenaga, pelupusan, sekolah, hospital dan perpustakaan.
Usaha mendapatkan bekalan bahan binaan juga kini berdepan kesukaran dan dikhuatiri bertambah buruk jika pentadbiran Trump meneruskan tarif yang dirancang ke atas China dan Kanada, yang merupakan pembekal utama di AS.
“Industri pembinaan juga dijangka perlu menambah kira-kira 439,000 pekerja pada 2025 dan 500,000 tahun selepas itu.
“Akan sukar bagi kebanyakan peruncit dan pembekal untuk menghadapi permintaan yang sangat tinggi yang dijana dalam tempoh singkat. Tarif, jika digunakan, akan menambah satu lagi lapisan komplikasi kepada masalah ini,” kata Neil Saunders dari Global Data.


































