Dr. Jeffrey Kitingan
KOTA KINABALU: Kerjasama antara semua pihak, termasuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri, masyarakat, sektor swasta, serta organisasi bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil (CSO), amat penting dalam memastikan penyelesaian yang lebih berkesan terhadap isu banjir.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan menegaskan bahawa bagi mengatasi masalah banjir di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, beberapa pendekatan perlu dilaksanakan.
“Antaranya adalah penyelenggaraan parit sepanjang 170.5 kilometer yang berada di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Penyelenggaraan ini dilakukan secara berkala, dengan tumpuan utama pada pembersihan kelodak dan tumbuh-tumbuhan dalam parit,” katanya dalam kenyataan kelmarin, merujuk kepada kenyataan ADUN Moyog Datuk Darell Leiking baru-baru ini.
Dr. Jeffrey berkata, setakat ini, kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan sebanyak tiga kali setahun dengan peruntukan sebanyak RM40 juta. Namun, beliau mengakui bahawa kekerapan tersebut masih tidak mencukupi untuk memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik, terutama dengan perkembangan pesat pembangunan dan kesan perubahan iklim.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah banjir, terutamanya di Penampang dan Putatan.
Sementara itu, katanya, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog (PLSB Sungai Moyog), yang melibatkan kawasan Pekan Donggongon dan Putatan dengan kos RM297.96 juta, sedang berjalan.
“Bagaimanapun, cadangan projek bagi kawasan tengah Sungai Moyog di Penampang dan Sungai Petagas di Putatan masih belum mendapat kelulusan.”
Dr. Jeffrey berterima kasih kerana isu ini dibangkitkan dan menegaskan bahawa penyelesaian masalah sistem saliran serta perancangan pembangunan rumah dan pekan di Moyog dan Putatan memerlukan kerjasama semua pihak.
Beliau turut menyeru masyarakat agar memainkan peranan dalam menangani masalah ini, termasuk dengan tidak membuang sampah secara sembarangan.
“Kita memerlukan kerjasama pemimpin tempatan, termasuk Darell sendiri. Selain itu, kita juga memerlukan pembiayaan tambahan sekiranya mahu meningkatkan kekerapan kerja-kerja pembersihan sistem perparitan,” katanya.
Menurut Dr. Jeffrey, perancangan pembangunan juga memainkan peranan penting dalam isu ini.
“Jika lebih banyak rumah dan bangunan dibina, ia akan menghasilkan lebih banyak sisa dan limpahan air. Ini akan menjadi cabaran dalam membina struktur sistem saliran yang lebih baik. Oleh itu, kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan tempatan dan Persekutuan, amat diperlukan,” tambahnya.
Mengenai faktor perubahan iklim yang semakin tidak menentu, Dr. Jeffrey berkata, “Kita tidak boleh mengubah iklim. Jika kita hanya bertindak balas terhadap hujan lebat dengan terus memperbesarkan sistem perparitan, kita tidak menangani punca utama masalah, iaitu perubahan iklim dan isu alam sekitar.”
Beliau menegaskan bahawa pemeliharaan alam semula jadi, termasuk kawasan persekitaran dan sungai, perlu diberi perhatian kerana ia dapat membantu mengurangkan kesan perubahan iklim dalam jangka panjang.
































